Multaqa: Isyarat Kumpulan Ulama Mahu PAS 'Dibersihkan' #pakdin.my

Multaqa Ulamak Semalaysia--

Multaqa Ulama SeMalaysia II yang diadakan Ahad lepas dilihat menjadi medan kumpulan ulama PAS memperkukuhkan iltizam dan mengumpul sokongan padu anggota terhadap kepimpinan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menjelang pemilihan parti pada Jun ini, kumpulan ulama yang menjadi tunjang kepimpinan PAS mahu para anggota setia kepada pemimpin parti dan dasar parti, serta patuh arahan Majlis Syura Ulama dan keputusan Presiden.

Tanpa berselindung, mereka mengakui bahawa wujud perpecahan ketara di dalam PAS pada masa ini sehingga ada cubaan menjatuhkan kepimpinan Abdul Hadi oleh kalangan anggota parti.

Mereka menghentam penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), satu badan bukan kerajaan (NGO) dalam PAS, dan diibaratkan seperti duri dalam daging yang hanya memporak-perandakan parti.

SEJARAH MUNGKIN BERULANG?

Secara tradisinya, jawatan presiden disandang oleh pemimpin di kalangan ulama. Namun, senario semasa dalaman PAS kini seolah-olah menggambarkan bahawa jawatan itu bakal digugat oleh kumpulan bukan ulama sehingga menyebabkan kumpulan ulama mulai bersuara.

Penganalisis politik berpendapat suara tegas kumpulan ulama yang mahu dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden PAS dikenakan tindakan selain mencabar PasMa menubuhkan parti sendiri, dilihat sebagai suatu usaha ‘pembersihan’ parti selain sebagai isyarat supaya parti itu terus kekal dipimpin oleh kumpulan ulama.

Melihat kembali sejarah pemilihan parti pada 2011, kumpulan ulama pernah ‘disisihkan’ sehingga menyaksikan dua wakil kumpulan ulama iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (sekarang Naib Presiden) dan Nasharuddin Mat Isa (bekas timbalan presiden) gagal meraih sokongan perwakilan untuk jawatan nombor dua parti.

Nasib yang sama juga menimpa semasa pemilihan parti 2013 apabila kumpulan ulama semakin hilang pengaruhnya dalam parti apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah daripada kumpulan itu tewas kepada Mohamad Sabu untuk jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti.

Bagi jawatan naib presiden, Tuan Ibrahim yang mewakili kumpulan ulama berjaya meraih tempat pada pemilihan 2013 berbanding pemilihan 2011, tiada seorang pun wakil kumpulan ulama dipilih bagi jawatan itu.

Adakah nasib yang sama akan menimpa kumpulan ulama pada pemilihan parti kali ini?

Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) yakin dengan senario semasa dan ditambah ketiadaan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan ekoran kes liwat bekas pembantunya akan menyaksikan kumpulan ulama PAS akan diberikan tempat semula dalam hirarki parti. Pada 10 Feb, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.

Mohd Izani berhujah senario pemilihan PAS pada 2011 selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, yang menyaksikan pakatan pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN), banyak dipengaruhi sentimen ‘menawan Putrajaya’ dan keghairahan meraih seberapa banyak sokongan pengundi khususnya bukan Melayu melalui kerjasama politik PAS, DAP dan PKR.

“Sebab itu kita lihat, orang yang mampu menjalinkan hubungan antara orang Melayu dan bukan Melayu di kalangan pemimpin PAS adalah Mohamad Sabu. Beliau merupakan individu terbaik ketika itu untuk memainkan peranan mewakili PAS bagi meraih sokongan.

“Selain itu, sokongan bukan Melayu kepada PAS pula bertambah sehingga parti itu menaik taraf kelab penyokong PAS kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pada 2010,” katanya.

Berbeza dengan pilihan raya umum ke-13, Mohd Izani berkata PAS mula merasai bahawa kerjasama politik bersama PKR dan DAP banyak merugikan parti dan mengubah hala tuju parti daripada matlamat asal perjuangan sehingga memaksa beberapa pemimpin kanan PAS mendesak supaya tahaluf siyasi atau kerjasama politik bersama rakan sekutunya dikaji semula.

“Saya berpandangan dengan apa yang dilalui PAS dalam Pakatan Rakyat selama ini, pemilihan parti kali ini akan memberikan semula mandat kepada kepimpinan ulama untuk memperbetulkan hala tuju parti,” katanya.

PENUBUHAN PasMa

Satu perkara menarik dalam senario PAS hari ini ialah wujudnya PasMa.

PasMa yang dipimpin oleh bekas timbalan pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi ditubuhkan 11 Ogos tahun lalu sebagai NGO yang memberi fokus kepada isu politik tanah air dan cenderung kepada pengukuhan pakatan pembangkang.

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Ahmad Yakob dalam ucaptama di multaqa itu dilapor sebagai berkata penubuhan PasMa adalah satu usaha untuk merosakkan dan menghancurkan PAS serta memecah-belahkan parti.

Bagi memastikan anasir perosak ini tidak lagi mengambil kesempatan daripada perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, Ahmad menggesa Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melalui Jawatankuasa Disiplin mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana pemimpin dan anggota PAS yang terlibat dengan PasMa.

IMPLIKASI POLITIK

Sehingga kini PasMa bergerak aktif. Kenapa tiada tindakan diambil terhadap anggota PasMa?

Mengulas persoalan itu, pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berkata anggota PAS yang menyertai PasMa tidak mungkin dipecat memandangkan ia boleh menimbulkan implikasi politik yang lebih buruk kepada PAS.

Mengambil contoh kes Nasharuddin yang dikecam teruk oleh parti kerana menjalin hubungan dengan UMNO, tindakan terhadap PasMa akan dilihat sebagai ‘pilih kasih’ jika ada anggota NGO itu dipecat daripada PAS.

“Nasharuddin masih lagi ahli PAS dan beliau tidak dipecat. Jika ini (pemecatan) berlaku kepada ahli PasMa, anggota PAS akan berasa tidak berpuas hati dan mempersoalkan keputusan yang diambil parti terhadap Nasharuddin (yang tidak dipecat).

“Pada saya, ini lebih kepada soal kegagalan PAS menguruskan perbezaan pandangan dan kesempitan ruang bersuara di kalangan anggota. Kewujudan PasMa dilihat menjadi platform untuk anggota menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pengurusan parti dan sebagainya,” katanya.

Berkaitan