Muzakarah platform terbaik, kata Mufti Perak #pakdin.my

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria

SHAH ALAM – Muzakarah antara Pas dan Umno perlu disegerakan dan tidak perlu ditangguhkan jika ia bertujuan demi kebaikan semua pihak terutama umat Islam.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, muzakarah adalah satu platform terbaik untuk meneliti dan menyelesaikan pelbagai masalah.

“Jangan melengah-lengahkan sesuatu yang baik. Jika tidak, ia mungkin akan melahirkan keadaan lebih parah. Segerakan perkara ini dan jangan tunggu hingga selepas pilihan raya,†kata beliau yang pernah menggerakkan inisiatif kerjasama politik Pas-Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-12 empat tahun lalu.

Dalam perkembangan terbaru kelmarin, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau bersyukur apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan persetujuan mengadakan pertemuan untuk memperbetulkan keadaan parti dan masyarakat.

Bagaimanapun, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pertemuan tersebut hanya akan dilakukan selepas Umno membetulkan sistem pilihan raya kerana beranggapan Umno tidak ikhlas dalam pertemuan tersebut.

Dalam pada itu, penganalisis melihat Pas seperti menghidup dan mematikan peluang bermuzakarah kerana menyedari dan bimbang Umno akan mendominasi sesi perbincangan itu nanti.

Pensyarah Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berkata, sebagai langkah untuk memastikan perbincangan kedua-dua parti itu tidak berlangsung, Pas dilihat mengambil pendekatan dengan meletakkan syarat ketat kepada Umno sekiranya mahu bermuzakarah.

Menurutnya, tindakan Pas itu juga seolah-olah menggambarkan bahawa Umno tersasar dari perjuangan Islam.

“Mereka tidak mahu berbaik-baik dengan Umno sebab Pas menganggap mereka lebih kuat tanpa Umno,†katanya.

Pensyarah Kanan Kajian Komunikasi, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir pula berkata, muzakarah antara Pas dengan Umno seperti yang digembar-gemburkan itu tidak akan berlangsung sama sekali.

Menurutnya, ia kerana sifat keterbukaan Pas untuk bermuzakarah dengan Umno itu sekadar gimik dan retorik politik semata-mata.

Berkaitan