Sunday - July 25, 2021 @ 22:54
GAYA HIDUPMyIX catat jumlah trafik internet lebih satu Tbps pada Jun 2021

MyIX catat jumlah trafik internet lebih satu Tbps pada Jun 2021

Malaysia Internet Exchange (MyIX) telah mencatatkan trafik Internet lebih daripada satu Terabit sesaat (Tbps) pada bulan Jun, 2021, hampir dua kali ganda 588 gigabit sesaat (Gbps) yang direkodkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama yang dilaksanakan dari 18 Mac, 2020.

Pengerusinya Chiew Kok Hin berkata dengan lebih banyak organisasi mengamalkan budaya kerja dari rumah, MyIX telah menjangka permintaan untuk Internet akan terus meningkat.

Sehubungan itu, ia telah menambah bilangan nod kepada tujuh di seluruh Malaysia, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chiew berkata permintaan tinggi tu disebabkan isi rumah menggunakan lebih banyak kandungan audio-visual serta inisiatif e-pembelajaran.

Nod adalah suis satelit yang terdapat dibeberapa kawasan yang membolehkan ahli atau rakan kongsi untuk berhubung kepada penyedia perkhidmatan Internet (ISP) dan rangkaian pengedaran kandungan (CDN), katanya.

“Nod akan memastikan peningkatan latensi untuk kesalinghubungan dengan rangkaian lain dan mereka akan berperanan dalam menambahbaik lagi kestabilan dan prestasi sambungan Internet, menurunkan kos sambungan serta meminimumkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Chiew berkata empat daripada nod ini terletak di Cyberjaya, manakala yang lain terletak di Kuala Lumpur, Iskandar Puteri (Johor) dan Kuching (Sarawak).

“Kami bekerjasama rapat dengan beberapa operator telekomunikasi yang telah menambah lebih banyak port di MyIX untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas,” tambahnya.

MyIX, inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), adalah satu-satunya badan pertukaran Internet nasional bukan keuntungan yang dikendalikan oleh industri.

Dilancarkan pada 15 Disember 2006, MYIX merupakan pertukaran internet neutral pertama yang bukan bersifat keuntungan, yang mana ISP tempatan dan pembekal kandungan disambungkan bagi menukar trafik Internet.

— BERNAMA

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here