Nahas Helikopter AS3655N2-Dauphin: Tindakan undang-undang mungkin gagal - pakdin.my

Helikopter AS365N2 Dauphin - 9M-1GB
Helikopter AS365N2 Dauphin – 9M-1GB

Punca sebenar nahas helikopter A365 boleh dirungkai namun hasrat untuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan atas faktor kecuaian mungkin menemui jalan buntu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sekiranya laporan akhir mendapati punca nahas berkenaan disebabkan sirip pengimbang, maka syarikat helikopter itu perlu bertanggungjawab.

“Tetapi masalahnya syarikat itu sudah tidak beroperasi kerana pemiliknya ialah juruterbang, Kapten Clifford William Fournier yang turut terkorban dalam nahas itu.

“Soal ini amat rumit kerana besar kemungkinan siapa yang perlu bertanggungjawab berhubung nahas itu akan menemui kebuntuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Jelas Tiong Lai, walaupun tindakan perundangan bakal menemui jalan buntu, sekurang-kurangnya punca sebenar nahas dapat diketahui berbanding nahas helikopter yang meragut nyawa bekas Pengerusi DRB-HICOM, Tan Sri Yahya Ahmad pada 3 Mac 1997 yang sehingga hari ini menjadi tanda tanya.

Mengulas lanjut berhubung siasatan nahas yang meragut enam nyawa termasuk bekas Ahli Parlimen Rompin, Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Tiong Lai memberitahu, setakat ini kemungkinan besar punca nahas adalah disebabkan sirip pengimbang.

“Apapun kita sedang berusaha mencari sirip pengimbang kiri sekali gus membolehkan kita mengesahkan punca nahas helikopter itu yang akan diselaraskan dengan siasatan kotak hitam di kokpit, analisis serta simulator.

“Buat masa ini, kita mengesyaki sirip pengimbang itu sudah retak ketika mereka memulakan penerbangan di Pahang tetapi apabila ia patah atau terputus, helikopter menjadi tidak stabil dan terus menjunam,” katanya.

Dalam nahas 4 April lalu, enam individu termasuk Jamaludin dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias terkorban apabila helikopter yang dinaiki itu terhempas dekat Kampung Sungai Pening, Semenyih kira-kira pukul 4.55 petang.

Empat lagi mangsa yang terkorban ialah juruterbang, Fournier; rakan juruterbang, Aidana Baizieva; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang dan seorang anggota polis yang juga pengawal peribadi Jamaludin, Koperal Razkan Seran.

UTAMABERITANahas Helikopter AS3655N2-Dauphin: Tindakan undang-undang mungkin gagal

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium