Najib bantu pendidikan dua anak saya – Saksi - pakdin.my

BALU kepada bekas setiausaha sulit kepada Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bekas Perdana Menteri itu ada menyumbangkan cek bernilai RM13,800 sebagai bantuan pendidikan dua anaknya pada 2015.

Saksi pendakwaan ke-12, Manisah Othman, 55, berkata Najib sebelum itu memberitahu akan memberi sumbangan berkenaan ketika melawat suaminya yang ketika itu dirawat akibat kanser kolon tahap empat di Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur pada 2013.

Beliau yang berkhidmat sebagai Perangkawan di Jabatan Perangkaan Malaysia Putrajaya berkata, cek itu diperolehnya daripada seorang pegawai Najib dikenali sebagai Encik Khairul, selepas suaminya meninggal dunia.

Saksi itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dalam prosiding kes Najib yang menghadapi tujuh tuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International).

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Semasa Datuk Seri Najib lawat arwah suami di Prince Court, ada beliau beritahu apa-apa?

MANISAH: Datuk Seri Najib janji untuk bantu pendidikan anak-anak saya.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Ada kamu terima bantuan?

MANISAH: Alhamdulillah… ada.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Dalam bentuk apa?

MANISAH: Cek.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Boleh beritahu mahkamah, berapa jumlah kamu terima?

MANISAH: (RM) 13,800.

Terdahulu, saksi sama memberitahu, suaminya, Amirudin Mohd Baria yang meninggal dunia pada 2013 pernah berkhidmat sebagai setiausaha sulit kepada Najib ketika ahli politik itu menjawat jawatan Menteri Pendidikan.

Bagaimanapun, suaminya tidak berkhidmat dengan Najib ketika ahli politik itu dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Ketika itu, katanya, Allahyarham berkhidmat dengan Bousted Holdings.

Menurutnya lagi, selepas Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri, barulah suaminya ditempatkan di Pejabat Perdana Perdana Menteri sebagai ‘liaison officer’ (pegawai penghubung) Bousted Holdings.

Saksi itu berkata, suaminya kekal berkhidmat dengan Najib sehingga ahli politik itu menjawat jawatan Perdana Menteri.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Ada tanggungjawab khas yang menyebabkan suami dipanggil semula untuk bekerja dengan Datuk Seri Najib Razak?

MANISAH: Saya tak tahu.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdulllah, Manisa mengakui turut menerima dua lagi cek daripada Najib untuk bantuan pendidikan anaknya.

Katanya, dua cek berkenaan masing-masing bernilai RM9,360 ketika suaminya meninggal dunia pada 2013 dan cek bernilai RM29,520 pada 2014.

MUHAMMAD SAIFUDDIN: Kamu setuju Datuk Seri Najib ambil berat penyakit arwah suami yang ada kanser kolon tahap empat?

MANISAH: Ya.

UTAMABERITANajib bantu pendidikan dua anak saya - Saksi

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium