Najib berkata siasatan MH370 tidak pernah tolak plot jenayah, hubungan politik juruterbang - pakdin.my

Najib Razak hari ini seperti mengesahkan dakwaan bekas perdana menteri Tony Abbot bahawa pegawai kerajaan Malaysia mengesyaki suatu plot jenayah dalam kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370.

Bekas perdana menteri itu seterusnya berkata pihak berkuasa juga ada menyiasat motivasi politik kerana hubungan politik juruterbang MH370, Zaharie Ahmad Shah.

Namun rasa syak itu tidak diumumkan walaupun pembangkang ketika itu cuba menyalahkan kerajaannya dalam hal pengendalian episod MH370, katanya.

“Ia akan dianggap tidak adil dan tidak bertanggungjawab dari segi undang-undang kerana kotak hitam dan perakam suara kokpit belum ditemui justeru tiada bukti yang tidak dapat dipertikaikan sama ada juruterbang itu dia semata-mata bertanggungjawab atau sama-sama,” kata Najib kepada FMT hari ini.

Beliau juga perdana menteri ketika pesawat membawa 239 penumpang itu hilang 6 tahun lalu dalam penerbangan malam dari Kuala Lumpur ke Beijing.

“Sekali lagi saya mesti tegaskan kemungkinan itu tidak pernah ditolak dalam usaha pencarian dan siasatan ke atas senario MH370, yang dijalankan sehabis mungkin,” tambahnya.

Bekas pemimpin itu tidak menamakan siapa yang dimaksudkan, tetapi nampaknya merujuk kepada perbicaraan Liwat 2 melibatkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Pesawat itu hilang beberapa jam selepas Anwar dijatuhkan hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan menterbalikkan pembebasannya dalam tuduhan meliwat bekas pembantu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Zaharie dilaporkan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Rayuan itu pada 7 Mac.

“Juruterbang itu diketahui seorang ahli parti pembangkang yang pernah menghadiri pelbagai aktiviti politik dan pemimpin pembangkang kemudian akui juruterbang itu ada kaitan dengannya,” kata Najib kepada FMT.

Beberapa hari selepas kejadian, Anwar akui Zahari ada kaitan denganya menerusi perkahwinan seorang anaknya, dan beliau pernah bertemu juruterbang kanan itu “beberapa kali”.

Abbot, yang ditemui untuk dokumentasi Sky News menjelang ulangtahun ke-6 kehilangan pesawat itu bulan depan, berkata pegawai “berpangkat tertinggi” Malaysia memberitahunya Zaharie mungkin melakukan pembunuhan beramai-ramai.

“Pemahaman saya – pemahaman saya yang amat jelas – daripada peringkat tertinggi kerajaan Malaysia ialah sejak awal lagi mereka menganggap ia ialah pembunuhan-bunuh diri oleh juruterbang,” kata Abbott.

Najib berkata terdapat beberapa sebab untuk pihak berkuasa mengesyaki penglibatan Zaharie, termasuk fakta bahawa transponder pesawat ditutup pada saat penting, ketika ia akan memasuki ruang udara Vietnam.

“Ini mencadangkan siapa pun yang bertanggungjawab memiliki pengetahuan tentang penerbangan komersial,” kata Najib.

Najib berkata penyiasat juga mengambil kira keadaan emosi Zaharie, serta simulator penerbangan di rumahnya yang menimbulkan rasa syak.

Najib bagaimanapun tidak percaya sesebuah parti politik boleh dipersalahkan sekiranya benar juruterbang itu melakukan pembunuhan beramai-ramai.

“Tetapi tidak boleh dipertikaikan jentera propaganda politik mereka dan mesejnya ketika itu sangat berkesan, hinggakan ramai rakyat terpedaya dan menjadi radikal sehingga taksub.

“Tunjuk perasaan besar-besaran yang dihadiri ratusan ribu orang selepas pilihan raya umum tahun sebelumnya sebelum pesawat itu hilang, yang percaya dakwaan tidak benar dan berniat jahat parti pembangkang ketika itu seperti terdapatnya 40,000 pengundi ragu dan bekalan elektrik terputus semasa hari pengundian pilihan raya, bukti ketaksuban itu.

“Dakwaan seperti itu sudah terbukti pembohongan oleh pembangkang ketika itu tetapi ramai ketika itu benar-benar percaya,” kata Najib, merujuk kepada dakwaan penipuan semasa pilihan raya 2013.

Najib memberi amaran orang ramai agar jangan membuat sebarang kesimpulan yang menyalahkan juruterbang itu “kecuali dan sehingga ada kotak hitam dan perakam suara kokpit diperoleh”.

Kehilangan MH370 itu dianggap salah satu misteri penerbangan terbesar, dan membawa kepada misi mencari dan menyelamat paling lama dan paling mahal dalam sejarah.

UTAMANAJIB RAZAKNajib berkata siasatan MH370 tidak pernah tolak plot jenayah, hubungan politik juruterbang

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium