26.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, January 24, 2021

Najib Dan Rosmah Hadir Di Mahkamah Berhubung Kes Liwat Anwar

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor Jumaat hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta berhubung kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Najib dan Rosmah tiba pada pukul 2.55 petang untuk bertemu pasukan peguam bela Anwar yang diketuai oleh Karpal Singh.

Mereka tiba 15 minit lebih awal daripada pasukan peguam bela Anwar.

Perdana Menteri dan isteri telah bertemu dengan pasukan peguam bela Anwar secara berasingan selama lima minit di bilik mesyuarat Tingkat Tujuh kompleks berkenaan.

Najib dan isteri meninggalkan kompleks itu pada pukul 3.28 petang ini.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di sini, hari ini, Najib berkata kehadirannya di Kompleks Mahkamah itu adalah sebagai menghormati keputusan yang telah dibuat hakim.

Pada 8 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan dua permohonan Anwar untuk menemubual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bagi perbicaraan kes liwat yang sedang dihadapinya.

Najib berkata beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi itu dan “saya sebagai rakyat Malaysia perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh hakim, tak kiralah apa jua jawatan.”

Perdana Menteri berkata sebab itu beliau hadir ke majlis tersebut dan telah memaklumkan pendiriannya.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan perkara yang dimaklumkannya kepada peguam bela Anwar kerana beliau telah “sampaikan(nya) mengikut hak saya.”

“Saya tahu apa hak saya dan saya telah sampaikan kepada pihak peguam yang mewakili Anwar, dan Anwar juga ada di situ,” katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai kehadirannyannya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Sementara itu, Karpal Singh berkata Najib dan Rosmah menolak untuk ditemu bual bagi kes perbicaraan liwat Anwar yang sedang berjalan dan kedua-duanya juga tidak mahu menjadi saksi pembelaan dalam kes itu.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.