Najib perlu rombak legasi negatif Mahathir - pakdin.my

Sudah tiba masa bagi seluruh kepemimpinan dan ahli UMNO memberi kekuatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merombak semua legasi negatif peninggalan Mahathir Mohamad agar rakyat mampu menikmati kehidupan le­bih selesa dan menguntungkan.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana terdapat banyak legasi negatif yang ditinggalkan bekas Perdana Menteri itu sehinggakan rakyat terpaksa menanggung pelbagai bebanan termasuk kenaikan cukai dan tol ekoran dasar pen­swastaan yang dilaksanakan.

Beliau seterusnya mengesyorkan supaya pemimpin serta ahli-ahli UMNO di semua peringkat termasuk sayap parti membawa perkara itu pada Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual berlangsung penghujung November ini untuk diperhalusi.

“Hari ini, saya berterus terang mendoakan agar Datuk Seri Najib kena berani merombak legasi negatif peninggalan Mahathir. Walaupun ada juga legasi positif tapi banyak legasi negatif yang rakyat kena tanggung bebannya sekarang.

“Saya harap Datuk Seri Najib dan semua ahli UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti meminta kerajaan merombak legasi negatif Mahathir,” kata­nya ketika berucap dalam program Himpunan Jentera Pe­nerangan UMNO Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak dekat sini petang semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman; Setiausaha badan perhubungan itu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof dan Ketua Penerangan UMNO negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Annuar seterusnya menjelaskan, antara legasi negatif peninggalan Mahathir ialah dasar pen­swastaan sisa pepejal serta dasar luar hubungan Malaysia-Singapura khususnya berkaitan isu tanah untuk keretapi dan isu air.

“Tentang dasar luar negara dengan Singapura, isu tanah untuk kereta api dan juga masalah air masih tidak selesai. Jadi Datuk Seri Najib kena berani ubah pendekatan hubungan diplomatik, sistem struktur ekonomi dan juga ubah rasionalisasi subsidi zaman Mahathir,” ujarnya.

Annuar turut mengakui berdasarkan pengalamannya dalam politik serta kerajaan di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Mahathir, Najib dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib adalah yang terbaik dalam mentadbirkan parti dan kerajaan.

umno-perhimpunan

UTAMAPOLITIKNajib perlu rombak legasi negatif Mahathir

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium