Najib serah kepada mahkamah tentukan keputusan esok

10
Najib Razak berkempen di Tanjung Piai

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerah sepenuhnya kepada mahkamah berhubung keputusan pendakwaan bagi tujuh pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya.

Beliau berkata, tidak ada apa yang boleh diperkatakan selain menunggu keputusan yang akan didengar esok.

“Tiada apa-apa, kita tunggu sajalah,” katanya ringkas ketika ditemui selepas bersarapan pagi bersama orang ramai di sini hari ini.

Najib ditanya wartawan mengenai persiapannya menjelang keputusan terhadap kes yang dihadapinya itu.

Hadir sama menemani Najib calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan akhir pendakwaan terhadap ahli Parlimen Pekan esok berhubung tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan membuat keputusan di akhir kes pendakwaan selepas mendengar hujahan pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan barisan peguam bela Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 23 Oktober lalu.

Thomas menutup kes pendakwaan selepas Mahkamah Tinggi selesai mendengar keterangan 57 saksi, antaranya membabitkan pegawai kanan Ambank, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan SRC.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu yang mengambil masa selama 58 hari di peringkat kes pendakwaan disifatkan antara yang paling singkat berlangsung.

Prosiding yang mendapat perhatian seluruh dunia itu bermula pada 3 April lalu dengan mendengar keterangan saksi pertama iaitu Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai PRK Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November ini, Najib yang kini popular dengan gelaran ‘Bosku’ optimis Barisan Nasional akan memenangi semula kerusi Parlimen tersebut daripada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, beliau yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi Cina selepas melihat sendiri situasi berdasarkan tinjauannya terhadap kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dihadirinya.

“Tapi kita kena teruskan usaha kita sampai habis,” ujarnya.

Dalam pada itu Najib memberitahu, beliau akan datang semula pada 14 atau 15 November nanti untuk membantu kempen Jeck Seng sehingga akhir tarikh masa untuk berkempen pada pilihan raya itu.

“Ada, Insyaallah 14 hingga 15 saya datang semula,” tambahnya.

……………..
Ulasan dari Facebook Dr Shamsher Singh Thind

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2440549122826874&id=2151812461700543

Esok, jam lebih kurang pukul 10.00 pagi, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur akan membuat keputusan sama ada:

(A) Bossku dilepaskan dan dibebaskan daripada 7 pertuduhan melibatkan wang RM 42 juta milik SRC International Sdn Bhd; atau

(B) Bossku dikehendaki membela diri.

Berikut adalah sedikit maklumat yang saya nak kongsi bersama friend-friend saya supaya membantu mereka faham isu ini:

1. Mahkamah akan membuat keputusan (B) sekiranya pihak pendakwaan berjaya membentuk kes prima facie berkenaan dengan kesalahan yang dinyatakan dalam pertuduhan, dan keputusan (A) sekiranya pihak pendakwaan tidak berjaya berbuat demikian. Harap maklum bahawa setiap pertuduhan adalah berasingan walaupun dibicarakan bersama. Ini bermakna, Bossku boleh dilepaskan dan dibebaskan dalam satu atau beberapa pertuduhan, dan diarahkan untuk membela diri dalam baki pertuduhan yang lain.

2. Menurut seksyen 180(4) Kanun Prosedur Jenayah, kes prima facie dibentuk apabila pihak pendakwaan telah berjaya mengemukakan keterangan yang kredibel untuk setiap elemen kesalahan yang dinyatakan dalam pertuduhan, yang sekiranya tidak dipatahkan atau diberi penjelasan mengakibatkan tertuduh disabitkan kesalahan.

3. Dalam kata lain, Mahkamah hanya boleh mengarahkan Bossku membela diri sekiranya Mahkamah bersedia untuk menjatuhkan hukuman ke atas Bossku andai kata Bossku mendiamkan diri selepas dipanggil untuk membela diri. Mahkamah tidak boleh memanggil Bossku untuk membela diri hanya kerana ingin tahu apa yang Bossku tahu.

4. Dalam pendakwaan jenayah, tertuduh mempunyai hak untuk mendiamkan diri, dan hak ini tidak boleh diketepikan melainkan Mahkamah benar-benar berpuas hati bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan yang dinyatakan dalam pertuduhan.

5. Mahkamah masih boleh melepaskan dan membebaskan Bossku selepas mengarahkan beliau membela diri. Sebagai contoh, Anwar Ibrahim dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur selepas diarahkan membela diri (https://www.malaysiakini.com/news/186050). Ini kerana undang-undang dengan jelas menyatakan bahawa tertuduh layak dilepaskan dan dibebaskan sekiranya berjaya mewujudkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan, walaupun jika gagal membuktikan pembelaannya.

6. Pendek kata, sekiranya Bossku diarahkan membela diri, itu dengan sendirinya TIDAK bererti bahawa Bossku bersalah. Bossku hanya bersalah sekiranya Bossku gagal membuktikan pembelaannya (sekiranya dipanggil untuk membela diri) dan, dalam masa yang sama, gagal mewujudkan keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan, di akhir perbicaraan. Ingat, innocent until proven guilty!

7. Satu lagi, Peguam Negara masih boleh menarik-balik pertuduhan walaupun Mahkamah telah memanggil Bossku untuk membela diri. Benda ini pernah berlaku baru-baru ini (https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/02/535549/rafizi-ramli-dilepas-dibebas-siar-artikel-tohmah-tabung-haji).

P.S. Dr Mahathir dari awal lagi dah berkali-kali membuat kenyataan media bahawa Bossku adalah pencuri. Dan Dr Mahathir ini pernah dituduh campur-tangan dalam urusan badan kehakiman. Tuan-tuan pernah baca apa yang dinyatakan oleh Hakim Ian Chin (https://www.thestar.com.my/news/nation/2008/06/11/justice-ian-chin-tells-of-threats-and-indoctrination-attempt)? Saya harap perkara itu jika benar tidak berlaku kali ini.