‘Nak menangis tengok harga bawang’ - pakdin.my

HARGA bawang merah dijual kepada pengguna di Petaling Jaya, memang sudah naik sejak dua bulan lalu berikutan bekalan barangan kering itu menyusut.

Tinjauan di sebuah pasar basah di situ mendapati harga bawang merah yang diimport dari India dijual pada harga antara RM12 hingga RM14 bagi sekilogram.

Peniaga, V T Asha, 52 berkata, harga bawang terbabit sudah naik sebelum musim perayaan Deepavali yang lalu.

“Saya difahamkan bekalan itu terputus ke Malaysia berikutan banjir di India, dua bulan lalu. Jadi memang susah nak dapatkan bekalan barangan kering dari negara itu.

“Di kedai saya ini, bekalan bawang merah itu hanya tinggal beberapa kilogram saja. Mengikut pembekal, itu adalah bekalan terakhir yang diterima mereka buat sementara waktu.

“Saya beli RM12 sekilogram pada pembekal dan terpaksa menjualnya pada harga RM14. Bawang ini memang mendapat permintaan ramai dari pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, R Angamah, 67 berkata, agak sukar untuk mendapatkan bekalan bawang merah dari India itu, sejak dua bulan lalu.

“Sekarang bawang yang datang semuanya dari Belanda, Pakistan, China dan Siam. Kalau bawang dari India memang susah nak dapat sekarang ini sebab tiada bekalan barangan kering itu dari pembekal.

“Sekiranya ada, kami terpaksa menjual pada harga dua kali ganda daripada sebelum ini berikutan bawang itu dijual oleh pembekal pada harga lebih mahal.

“Kadang-kadang pelanggan kata mereka mahu ‘menangis’ tengok harga bawang itu,” katanya.

Sementara itu, pengguna Zalina Kassim, 62, berkata, dia sudah biasa menggunakan bawang berkenaan dalam masakannya sejak dulu lagi.

“Namun, kebelakangan ini bawang merah itu memang susah nak dapat. Sekiranya ada pun harga yang dijual memang agak mahal,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan harga sekilogram bawang merah dijual kepada pengguna di Perlis naik tiga kali ganda sejak sebulan lalu apabila bekalan bahan berkenaan terputus dan begitu terhad kebelakangan ini.

Menurut laporan itu, bekalan bawang merah mula dikesan menyusut sejak dua bulan lalu dan ia adalah kali pertama dalam 10 tahun harga bekalan bawang merah naik mendadak di negeri itu.

UTAMABERITA'Nak menangis tengok harga bawang'

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium