Ngauman Pak Belang hantui penduduk #pakdin.my

DUNGUN – Seramai 80 pekebun sayur dan penternak lembu serta kambing di Kampung Tebing Tembah, Paka di sini resah de­ngan kemunculan seekor harimau Malaya sejak minggu lalu.

Sang belang itu didakwa berkeliaran di kawasan belukar berhampiran kebun sayur serta kandang lembu dan kambing penduduk.

Seorang penduduk, Darani Salleh, 58, mendakwa, salah seorang rakannya pernah terserempak dengan harimau berkenaan ketika menunggang motosikal sewaktu dalam perjalanan pulang dari kebunnya pada Ahad lalu.

“Cerita kawan saya, dia terse­rempak dengan haiwan liar itu sewaktu melalui kawasan berbatu yang merupakan laluan kebiasaan penduduk kampung ke kebun sayur masing-masing.

“Kawan saya itu memberitahu, sebaik terserempak dengan harimau itu, dia yang terkejut telah memecut laju motosikalnya sementara haiwan liar itu juga lari masuk ke kawasan belukar berhampiran,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Pekebun sayur, Faiz Ikhbal Entjet, 27, pula mendakwa, dia dan ahli keluarga pernah terde­ngar ngauman harimau tersebut sewaktu berkebun beberapa ming­gu lalu.

Katanya, kemunculan harimau belang amat menakutkan kerana sebelum ini mereka ha­nya pernah terserempak dengan beruang matahari sahaja.

“Kawasan kebun saya paling hujung dan hampir dengan hutan. Begitupun, ini kali pertama kami mendengar ngauman harimau.

“Ia menyebabkan kami takut dan risau tentang keselamatan diri sekali gus mengganggu rutin kami sebagai pekebun dan penternak haiwan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Ja­batan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, terdapat beberapa kesan tapak kaki harimau ditemui di kawasan dimaklumkan penduduk.

“Kita percaya harimau berkenaan ‘terkeluar’ dari habitatnya di Hutan Simpan Bukit Bauk di sini yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari kebun dan kandang ternakan penduduk,” jelasnya.

Kean Seong berkata, harimau berkenaan tidak membuat sebarang ancaman dan tidak mengganggu ternakan penduduk.

Katanya, pihaknya percaya Pak Belang berkenaan akan kembali ke habitat asalnya secara semulajadi dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, kami akan sentiasa memantau kawasan tersebut demi menjaga keselamatan penduduk berdekatan,” jelasnya.

Berkaitan