27.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, February 27, 2021

NHMS 2011 Tunjukkan Penghidap Diabetes Meningkat 3 Juta Orang

Keputusan awal Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 menunjukkan kira-kira tiga juta rakyat Malaysia kini menghidap diabetes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman berkata jumlah itu amat membimbangkan berbanding 1.5 juta ketika kali terakhir survei dijalankan pada 2006.

“Lebih membimbangkan kira-kira dua juta individu dewasa yang mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi, masih belum diperiksa doktor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini Khamis.

Beliau berkata survei juga menunjukkan masih ramai rakyat negara ini yang belum melakukan ujian saringan kesihatan secara tetap dan berkala.

Perlu diketahui bahawa majoriti individu dengan diabetes tidak mengalami sebarang gejala, kadang kala sehingga tujuh ke 10 tahun dari penyakit mula terjadi, katanya.

Justeru, Dr Hasan menyarankan semua rakyat yang berumur 30 tahun dan ke atas menjalani ujian saringan faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) setiap tahun.

Bagi individu yang mempunyai faktor risiko seperti sejarah anggota keluarga menghidap diabetes, obesiti, hipertensi, kolestrol tinggi, gaya hidup tidak aktif dan wanita yang mempunyai sejarah diabetes semasa hamil, perlu menjalani ujian saringan seawal usia 20 tahun.

“Jalani ujian saringan kesihatan dengan segera dan secara tetap untuk mengelakkan penyakit lebih sukar dikawal dan berdepan risiko seperti kebutaan, sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan mati pucuk,” katanya.

Selain itu, Dr Hasan berkata tahap penjagaan penyakit bagi mereka yang telah disahkan menghidap diabetes dan penyakit NCD yang lain juga tidak memuaskan.

“Data kementerian menunjukkan penghidap diabetes yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dianggarkan hanya satu daripada lima pesakit mencapai sasaran gula dalam darah yang baik.

“Dua daripada lima pesakit mencapai sasaran tekanan darah optimum, satu daripada empat capai saran tahap kolestrol baik, dan hanya satu daripada enam pesakit berada di tahap ‘body mass index’ yang ideal,” katanya.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.