Nikmat “Air Jando Pulang” Di Kuala Pilah

air-jando-pulang-2

Nama “jando” atau janda pada minuman ini menimbulkan seribu persoalan terutama bagi mereka yang tidak pernah mendengar dan mengetahuinya.

Semakin popular di sekitar daerah ini, “Air Jando Pulang” menjadi tarikan ramai termasuk dari luar untuk merasai kenikmatan bagi menghilang dahaga.

Sepanjang jalan dari Ulu Bendul menuju ke Kuala Pilah, promosi mengenainya di papan-papan tanda memanggil-manggil orang ramai yang lalu di situ untuk mencubanya.

Pemilihan nama janda pulang itu turut menjadi persoalan sama ada benarkah ramai golongan janda di Negeri Sembilan?

DIANGKAT MENJADI MINUMAN TRADISI

Air Jando Pulang telah diangkat menjadi minuman tradisi Negeri Sembilan dan boleh didapati di pasaran terutama di pekan Kuala Pilah.

Di tempat lain di Negeri Sembilan, ia popular menjadi minuman kegemaran pada musim bulan puasa dan perayaan anjuran kerajaan negeri. Itupun jika pihak yang berkenaan faham apa yang dikatakan Air Jando Pulang.

Menjual Air Jando Pulang tanpa memahami sejarah dan kebaikan meminum air berkenaan menjadikan air ini sama seperti air lain dan tiada keunikannya. Namun apa istimewanya hingga air ini diangkat menjadi minuman tradisi negeri?.

Menurut pengkaji sejarah Negeri Sembilan, yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin, kajian mendalam harus dilakukan pada air itu terutama dari segi sejarah dan kebaikannya untuk kesihatan.

Jika dapat dilakukan ia akan menjadi tarikan untuk diminum oleh orang ramai dan jika tidak, ia akan menjadi air sekadar untuk orang mencubanya kerana ingin tahu kenapa ada kaitan dengan Jando dan kemudian Pulang, katanya.

“Jika ada kajian mendalam sudah dibuat maka ia boleh menjadi pulangan ekonomi yang lumayan terutama kepada peniaga kecil dan restoran. Ia juga boleh menambah pendapatan orang kampung,” katanya.

air-jando-pulang

VERSI AIR JANDO PULANG

Terdapat dua versi dalam membuat Air Jando Pulang. Versi pertama terasnya adalah air kelapa dan sirap manakala versi kedua terasnya ialah air kelapa dan gula enau.

“Kebanyakan Air Jando Pulang yang ada dijual sekarang main tiru sahaja dan tidak tahu rahsia di sebaliknya. Apatah lagi sejarah dan khasiatnya,” katanya.

Menurut beliau, bahagian bawah sebiji kelapa muda ditebuk besar dan dikeruk isinya menggunakan sudu dan dipindahkan ke bekas yang lain.

Airnya dipindah dan dicampur nira enau yang cair mengikut secukup rasa, lalu dikacau hingga sebati. Air yang sudah dikacau sebati itu dimasukkan semula ke dalam kelapa yang asal serta dimasukkan buah beluluk yang dalam bentuk halwa ataupun yang sudah diproses.

Setelah dikacau kembali di dalam kelapa tadi hingga sebati baharulah dinikmati seenaknya.

“Proses keluar masuk tadi adalah diibaratkan perpisahan suami isteri dan isteri menjadi janda. Oleh kerana air kelapa hasil air tangan bekas isteri tadi begitu sedap hingga menyebabkan beliau dirujuk semula. Bersatu, berpisah dan bersatu semula.

“Buah beluluk yang sudah diproses atau dijadikan halwa dan dimasukkan dalam Air Jando Pulang berperanan sebagai pengimbang rasa bagi mengelakkan terlalu manis atau loya,” katanya.

Minuman ini tidak perlu ditambah gula kerana air kelapa sudah manis begitu juga dengan nira enau dan buah beluluk.

Tiga bahan manis yang berlainan ini akan membuatkan rasanya lazat, menarik dan sedap dan di sinilah letaknya keenakan Jando Pulang tersebut, katanya.

Sementara itu Air Jando Pulang versi kedua yang lebih moden ialah campuran sirap dan air kelapa muda.

Sirap yang digunakan mestilah sirap yang dibuat sendiri dan dicampurkan dengan daun pandan, baharulah ia akan terasa wangi apabila menikmatinya.

Bagimanapun versi ini tidak dijamin khasiatnya kerana sudah dicampur gula halus dalam sirap.

“Ada juga yang mahu teras lebih sedap akan dicampurkan dengan susu cair sedikit. Versi ini agak mudah untuk menyiapkan kerana bahan-bahan senang didapati dan biasanya menjadi minuman pada bulan puasa,” katanya dan menambah bahawa lebih menarik apabila kedua-dua versi minuman itu diletakkan ketulan ais.

KERANA NAMA

Bagaimanapun bagi sesetengah orang yang pertama kali mencuba minuman ini mengadu sakit tekak, rasa loya, pening kepala dan rasanya terlalu manis, mungkin kerana penggunaan gula enau.

Berikutan sambutan yang begitu baik daripada penduduk tempatan, penulis mencuba sendiri minuman ini di sebuah restoran “Kodai Makan-makan” yang menyediakannya sebagai antara menu minuman.

Menurut pemilik restoran berkenaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Zul berkata, restorannya sedang berusaha untuk mempromosi minuman berkenaan kepada pengunjung tempatan dan luar.

Suhaimi Sidek, pemilik “Restoran Warisan” di Perkampungan Budaya Terachi di sini berkata, berdasarkan kepada sambutan orang ramai, “Air Jando Pulang” telah dijadikan sebagai minuman menyambut tetamu kepada pelanggannya.

Seorang pelanggan di restoran itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, apabila ditanya oleh penulis sebab beliau meminta air minuman itu telah menjawab:

“Namanya begitu indah dan tersendiri manakala airnya begitu eksotik”, katanya dengan lemparan senyum manis.

MENGUBATI PENYAKIT

Rosli berkata menurut pendapat dan amalan orang tua-tua, apabila tiga jenis bahan yang asli iaitu air kepala, nira enau dan buah beluluk disatukan menjadi Air Jando Pulang, ia boleh mengubati pelbagai jenis penyakit terutama kencing manis, sakit dalam perut dan kencing tidak lawas.

Kemanisan asli bahan tersebut datangnya daripada kebesaran Allah, katanya.

“Apabila ia dibuat dengan penuh adab dan tertib serta mendahulukan akan kebersihan maka ia akan dinikmati dengan begitu lazat sekali. Bila sekali mencuba sudah pasti akan ingin mengulangi untuk kali yang kedua.

“Proses untuk minum kali yang kedua itulah letaknya Jando Pulang… mahu tidak mahu bahawa kesedapan aroma minum Air Jando Pulang ini mesti dalam kelapa yang sama juga dan jika minum dalam gelas kaca atau plastik aromanya akan hilang dan semangatnya akan sama seperti minum air Coconut Shake pula,” katanya.

Ujarnya keaslian itu yang perlu dikekalkan dan tidak hanya meniru cara orang lain kerana Air Jando Pulang adalah asli dari Negeri Sembilan dan tidak diceduk dan disesuaikan dari tempat lain.

Ia turut menjadi minuman orang atasan dahulukala di Negeri Sembilan dan campuran yang ada dalam minuman ini juga adalah melambangkan penyatuan, kesepakatan serta tidak melupakan nilai kekeluargaan seperti mana papatah petitih:

Janda pulangan
Air kelapa minuman kita
Sekali minum pasti tak lupa
Akan ingat sampai bila-bila
Dapat menghilangkan haus dahaga
Dapat sembuhkan penyakit lama

Atuk kata cuba dulu dan cuba rasa
Dah rasa pasti terkinyam pula
Pasti nak tahu apa kisah sejarahnya
Pasti nak tahu apa khasiatnya

Uwan ea lamo dah rasa
Dek rasolah Uwan sihat
Uwan segak sampai kini
Atuk tak lari mano-mano
Uwan segak ibarat mudo-mudo.

Comments (No)

Leave a Reply