Nostalgia Tahun Baru Cina Perkukuh Silaturahim - pakdin.my

Nostalgia Tahun Baru Cina Perkukuh Silaturahim

Apabila lagu “Gong Xi Fa Cai” dan yang seumpama sempena sambutan perayaan kaum Cina berkumandang di pasar raya, semua akan maklum itu adalah isyarat sambutan Tahun Baru Cina sudah hampir tiba.

Malahan kelihatan tanglung-tanglung berwarna merah digantung dari tiang ke tiang di jalan raya manakala kain rentang berwarna merah mengisi ruang di rumah dan premis perniagaan yang menjadi simbolik “membawa tuah” dan kemakmuran kepada kaum Cina.

Masyarakat di Malaysia sebenarnya sangat bertuah kerana dapat merasai pelbagai sambutan perayaan kaum. Awal bulan ini rakyat baharu sahaja bercuti umum kerana memberi laluan kepada kaum India menyambut Thaipusam.

Minggu ini pula sekali lagi bercuti menyambut Tahun Baru Cina. Ia antara hari raya masyarakat bukan Islam yang paling meriah.

Oleh kerana Tahun Baru Cina adalah sambutan budaya, ia menjadi satu sambutan perayaan yang diraikan oleh semua masyarakat Tiong Hua tanpa mengira agama.

TERINGAT KUIH BAKUL DAN LIMAU

Limau, kuih bakul, ang pau, tarian singa dan warna merah adalah antara perkara yang banyak meninggalkan nostalgia kepada masyarakat pelbagai kaum di sini.

Bagi Dr Shamsu Mohamad, setiap kali tiba Tahun Baru Cina beliau akan teringat jiran berbangsa Cina di kampungnya Pasir Mas, Kelantan.

Jiran yang fasih ‘kecek Kelate’ itu sering memberi kuih bakul dan buah limau. Kuih bakul yang dibuat di dalam daun pisang itu telah menjadi satu kebiasaan yang dianggap sangat istimewa dalam kalangan keluarga mereka.

Lebih menarik, setiap kali mereka ada makan besar, ibu Shamsu turut sibuk memasak rendang untuk diberi kepada jirannya sebagai hidangan tambahan ketika acara makan besar mereka.

“Cuma saya tidak pasti adakah amalan beri kuih bakul itu masih ada atau tidak. Kalau buah limau tu memangla kita nampak sentiasa ada hingga ke hari ini,” kenang pensyarah USM ini.

Kuih bakul adalah sejenis kuih tradisi yang diperbuat daripada tepung beras pulut dan gula putih yang dibungkus dengan daun pisang. Ia dikukus selama beberapa jam sehingga ia menjadi keperangan dan menjadi hidangan tradisi yang melengkapkan sambutan perayaan tahun baru bagi masyarakat Cina.

Kuih tradisional itu juga menggamit nostalgia buat Dr Salwa Ayob, Pensyarah Kanan di UiTM Perak.

“Saya lahir dan membesar di Penang. Sekolah pun di sana, St George’s Girls School. Di sekolah saya dulu, pelajar Cina dan Melayu jumlahnya lebih kurang sahaja. Jadi sambutan Tahun Baru Cina sangat sinonim dengan diri dan keluarga saya.”

Bapanya membuka kedai runcit menyebabkan mereka sering berinteraksi dengan peniaga dan pelanggan berbangsa Cina. Rakan baik ayahnya itu pula membuka kedai perkakasan berhampiran kedai runcit ayah Salwa.

Hubungan mereka ketika itu bukan sekadar jiran peniaga tetapi lebih kepada hubungan persahabatan yang erat seperti sebuah keluarga.

Masing-masing saling berkongsi cerita susah senang keluarga sehingga anak-anak juga menjadi rapat.

“Kalau dulu masa hampir perayaan Tahun Baru Cina, limau mandarin dan kuih bakul memang menjadi satu kemestian. Kami juga selalu dapat kuih bakul yang enak dan lembut serta buah limau yang baik kualitinya”.

Persahabatan yang erat itu turut merapatkan juga hubungan anak-anak dan menurut Salwa, sehingga ke hari ini hubungan kedua-dua keluarga mereka telah bersambung hingga ke generasi ketiga.

Malah Salwa juga tidak pernah lupa menghadiahkan buah tangan seperti kuih raya dan rendang bila tiba perayaan Hari Raya Puasa.

BERBASIKAL IKUT BELAKANG LORI

Petugas di Institut Kesihatan Umum, Sobashini Kanniah, 34, turut mempunyai nostalgia Tahun Baru Cina yang menarik.

Cerita ibu kepada seorang anak ini, ketika menetap di Kuantan dahulu, keluarganya berjiran dengan keluarga Tiong Hua hampir 20 tahun. Hubungan erat sebagai jiran itu menyebabkan Sobashini sangat arif akan sebarang perubahan yang berlaku di kediaman jirannya itu.

“Ketika di sekolah rendah, setiap kali menjelang Tahun Baru Cina,saya perasan rumah jiran saya tu akan jadi lebih merah. Penuh dengan hiasan tanglung dan mereka akan beli berkotak-kotak buah limau,” katanya.

Ketika masih kecil dia pernah terkejut dari tidur dan menangis kerana mendengar bunyi mercun papan di halaman rumahnya.

Ketika itu si ibu memujuknya dan berkata itu hanyalah bunyi mercun kerana jiran mereka sedang berhari raya.

“Tapi bila dah besar, kita sendiri pun tumpang seronok tengok mercun papan yang panjang berjela tu dengan bunyi yang sangat kuat. Masa itu, penguatkuasaan tidak seketat sekarang. Malah jiran kami pun kini sudah bercucu jadi mereka bertukar kepada bunga api sahaja.”

Siang harinya pula lorong perumahan teres mereka akan didatangi kumpulan penari tarian singa dan tarian naga. Kumpulan itu akan beraksi dari rumah ke rumah.

“Kami semua akan keluar menonton aksi-aksi singa dan naga. Kecil-kecil dahulu saya lari bila tengok singa tu sebab nampak macam raksaksa. Tapi bila dah bersekolah seronok pula tengok aksi singa tu melompat mengambil ang pau yang digantung tuan rumah. Lepas itu kami ramai-ramai berebut menangkap limau yang dibaling oleh penari tarian naga,” imbaunya.

Kemudian mereka beramai-ramai berbasikal mengekori lori yang membawa gendang dan penari-penari berkenaan. Kumpulan itu akan berhenti di setiap lorong membuat persembahan.

Menurut Sobashini, mereka yang berbasikal adalah kanak-kanak di kejiranan tersebut yang berbangsa Melayu dan India. Mereka akan mengikut lori tersebut dari pagi hingga ke petang pusing satu kawasan perumahan itu sambil mengutip ang pau dan limau yang turut diberikan kepada mereka oleh tuan rumah.

Bagi Nor Zawati Yeop, 37, sewaktu ayahnya masih sihat dahulu dan menjadi pemandu teksi di Pantai Remis, beliau sering membawa pulang buah limau ke rumah.

Masih terbayang-bayang lagi di hadapan matanya apabila kali pertama dapat melihat persembahan tarian singa. Walaupun ia adalah persembahan yang kecil tetapi di sepanjang kedai di pekan itu di penuhi orang ramai dari pelbagai kaum berkongsi kegembiraan.

“Bahkan sampai ke hari ini saya pasti kita di Malaysia sudah terbiasa dengan bunyi gendang yang dipalu mengiringi tarian singa serta bunyi mercun papan yang dibakar. Semua tu pada saya memberi keseronokan kerana ia satu budaya yang memeriahkan suasana,” sambung Zawati yang sering pulang ke kampung setiap kali cuti perayaan Tahun Baru Cina.

UTAMAGAYA HIDUPNostalgia Tahun Baru Cina Perkukuh Silaturahim

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium