Wednesday - August 4, 2021 @ 00:42
NASIONALSABAHNur Misuari Diingatkan Tidak Ambil Kesempatan Daripada Insiden #LahadDatu

Nur Misuari Diingatkan Tidak Ambil Kesempatan Daripada Insiden #LahadDatu

Misuari & Jamalul Kiram III
Misuari & Jamalul Kiram III

Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot memberi amaran kepada bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MILF) Nur Misuari supaya tidak cuba mengambil kesempatan daripada insiden Lahad Datu untuk meraih agenda kepentingan peribadinya.

Ketika menyangkal dakwaan Misuari bahawa Sabah secara sah milik apa yang dipanggil sebagai Sultan Sulu, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun menyatakan dengan jelas bahawa negeri itu sebahagian daripada Malaysia dan tiada siapapun boleh mempertikaikan kedaulatan dan kedudukan mutlaknya sebagai wilayah yang sah dalam Malaysia.

“Nasihat saya kepada Misuari adalah jika beliau cintakan keamanan seperti yang didakwanya dan jika beliau benar-benar sayang dan mengambil berat terhadap Bangsamoro, beliau sepatutnya menyokong serta menyertai usaha ke arah perjanjian damai dalam lingkungan kerangka yang dimeterai baru-baru ini antara kerajaan Filipina dan Bangsamoro bagi perdamaian yang berkekalan di Mindanao,” katanya pada persidangan media di sini.

Sambil memberi amaran kepada Misuari agar ‘jangan menangguk di air yang keruh’, beliau menggesa Misuari supaya menumpukan tenaga dan masa beliau yang masih ada kepada perjanjian damai itu demi manfaat rakyat senegaranya dan kerajaan Filipina, yang menuntut kesetiaannya.

Beliau berkata menggalakkan keamanan adalah satu daripada tonggak dasar luar Malaysia dan untuk itu, negara akan bersungguh-sungguh melindungi dan mempertahankan setiap inci bumi Sabah daripada pencerobohan asing dan sebarang tindakan keganasan.

“Kita telah menyaksikan kacau-bilau dan ketidakstabilan di selatan Filipina yang sememangnya tidak membawa apa-apa keuntungan kepada sesiapa pun, sebaliknya hanya membebankan Malaysia dan negara berjiran lain kerana terpaksa memberi perlindungan kepada mereka yang meninggalkan kampung halaman untuk mencari perlindungan dan kehidupan lebih baik,” kata Riot.

Tiada apa yang Malaysia hasratkan daripada jirannya selain daripada untuk mereka menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran, katanya.

Bagi tujuan itu, beliau berkata Malaysia terlibat secara aktif dalam misi pengaman di seluruh dunia dan sedia menjadi pengantara dalam usaha ke arah perdamaian di negara berjiran, khususnya Filipina.

Beliau berkata hubungan dua hala yang mesra antara kedua-dua negara itu terserlah apabila gabenor serantau wilayah otonomi Islam Mindanao Mujir S Hataman mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau di pejabatnya di Putrajaya pada Oktober tahun lepas.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here