Nurul Izzah Robek Luka Lama Insiden Tanduo - pakdin.my

nurul izzah-jacel kiram-pota

Pertemuan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar dengan Jacel H.Kiram, anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu Jamalul Kiram III, di Filipina baru-baru ini kembali merobek luka insiden pencerobohan lelaki Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Ramai berpendapat tindakan Anggota Parlimen Lembah Pantai itu sebagai tidak menghormati rakyat Sabah dan keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada diceroboh pihak asing.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sabah Datuk Jusli Ajirol berkata tindakan anak sulung bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sangat memalukan, lebih-lebih lagi ketika laporan mengatakan seorang rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak dibunuh oleh kumpulan penculik dari Selatan Filipina.

“Nurul Izzah perlu memohon maaf kepada rakyat Sabah di atas tindakannya bertemu Jacel H.Kiram,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini semasa mengulas gambar Nurul Izzah dan Jacel yang memegang poster Anwar, yang viral di laman sosial sejak semalam.

Jacel memuat naik empat keping gambar bertarikh 9 Nov dalam akaun facebook beliau bagi memaparkan pertemuan dengan Nurul Izzah.

Jusli berkata anak perempuan Jamalul Kiram itu adalah musuh negara, yang mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada 2013 selain tuntutan terhadap Sabah.

“Nurul Izzah perlu tahu bahawa Sabah masih lagi mengalami ancaman penculik dan pengganas dari Selatan Filipina kerana mereka masih menuntut Sabah, walhal kerajaan Filipina tidak mengiktiraf kesultanan Sulu,”katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan media hari ini pula menyifatkan alasan remeh seperti ‘terlalu sopan’ atau ‘mangsa keadaan’ bukannnya alasan munasabah bagi Nurul Izzah bertindak demikian.

“Adalah tidak munasabah untuk memperlekeh sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa pencerobohan Lahad Datu atau pun rakyat Sabah dengan alasan remeh apatah lagi masih wujud tuntutan yang kononnya dari waris-waris kesultanan Sulu.

“Saya ingin menegaskan di sini, politik ada batasannya. Tindakan tidak bertanggungjawab YB Lembah Pantai sama sekali tidak dapat diterima kerana ia melibatkan soal mengenai kedaulatan negara, lebih-lebih lagi apabila pihak yang ditemui terlibat dalam pencerobohan dan pembunuhan rakyat kita,” katanya.

Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh pula menyifatkan tindakan Nurul Izzah itu menggambarkan sikap pembangkang yang sanggup menggunakan apa sahaja peluang bagi kepentingan mereka tanpa memikirkan sensitiviti dan nasib rakyat, khususnya di Sabah.

Beliau turut menyelar kenyataan Anggota Parlimen Seputeh Tereka Kok yang mempertahankan Nurul Izzah apabila menyifatkan tindakan bergambar itu tidak perlu diambil serius kerana isu Sulu bukan perkara baharu.

Anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing turut senada dan berpendapat tindakan Nurul Izzah tidak wajar memandangkan isu Sulu masih terlalu sensitif bagi rakyat Malaysia, khususnya di Sabah.

“Bagaimana beliau boleh rapat dengan orang Sulu… apa tah lagi ketika seorang mangsa tebusan culik telah dibunuh…,” katanya.

Menurutnya Nurul Izzah tidak hanya boleh menafikan perkara itu atau memberi pelbagai alasan tetapi sewajarnya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan Sabah, khususnya keluarga mereka yang terkesan dalam insiden berdarah itu.

Pada 1 Mac 2013, kumpulan bersenjata dari Sekatan Filipina yang menceroboh Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu bertempur dengan pasukan keselamatan menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.

Sehari selepas itu, enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota tentera turut terbunuh bertempur dan kemalangan dalam operasi di Lahad Datu.

UTAMABERITANurul Izzah Robek Luka Lama Insiden Tanduo

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium