Obama dirayu hentikan penindasan terhadap Islam

Berkaitan

Terkini

Share

Syaikh Ismail menggunakan sebaiknya peluang mengiringi lawatan Obama di Masjid Negara dan Makam Pahlawan
Syaikh Ismail menggunakan sebaiknya peluang mengiringi lawatan Obama di Masjid Negara dan Makam Pahlawan

Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad mengambil kesempatan untuk merayu Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama supaya menghentikan penindasan terhadap masyarakat Islam di seluruh dunia ketika ketua negara kuasa besar dunia itu melawat ke masjid itu dan Makam Pahlawan pada pagi Ahad.

Syaikh Ismail mengambil peluang menyuarakan hasratnya itu semasa mengiringi Obama dan Presiden AS ke 44 itu dalam jawapannya berkata “doakan saya,” kata Syaikh Ismail.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas selesai lawatan pemimpin AS itu di kedua-dua monumen terkenal itu.

Syaikh Ismail berkata, Obama memberitahunya bahawa setiap hari apabila bangun dari tidur, beliau sentiasa berusaha untuk menghentikan penindasan dan konflik membabitkan masyarakat.

Syaikh Ismail, 70, turut menzahirkan rasa terujanya kerana pertemuan bersejarah dengan Obama pada Ahad, adalah yang kedua bagi beliau bertemu dengan seorang presiden Amerika Syarikat yang masih memegang tampuk kuasa.

Kebetulan, pertemuan pertama ialah dengan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966, kira-kira 48 tahun lalu ketika beliau baru berusia 22 tahun dan menjadi seorang pelajar tahfiz manakala presiden berkenaan melawat negara kini.

“Tidak menyangka bahawa saya akan menemui seorang lagi Presiden Amerika Syarikat dalam hidup saya selepas hampir 50 tahun,” kata imam besar Masjid Negara itu.

Syaikh Ismail juga kagum dengan kebolehan Obama memahami bahasa Malaysia.

Perkara itu disedari apabila beliau kadang-kadang secara tidak sengaja bertutur dalam bahasa itu dengan Presiden AS itu.

Di sebalik perbendaharaan kata bahasa Malaysia yang terbatas, Obama kerap kali menjawab “Insya-Allah” dan “Terima Kasih,” katanya.

“Memang baik baginya (Obama) walaupun beliau tidak boleh banyak bertutur dalam bahasa Malaysia tetapi beliau memahami apa yang saya katakan kepada beliau,” kata Syaikh Ismail tersenyum.

Lawatan Obama ke Masjid Negara adalah aturcara pertama hari kedua lawatan rasminya ke Malaysia.

Lawatan berkenaan disifatkan sebagai tanda penerimaan beliau kepada amalan Islam yang sederhana di negara ini yang majoriti daripada 30 juta penduduknya beragama Islam.

Obama, diiringi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar selaku menteri pengiring serta Duta Khas AS ke Pertubuhan Kerjasama Islam, Rashad Hussain.

Selepas lawatan Obama, Syaikh Ismail sempat mengadakan pertemuan singkat dengan Rashad.

Mereka antara lain berbincang mengenai perbankan Islam, program pembangunan usahawan Muslim dan hab halal.

Menurut Syaikh Ismail, Rashad melahirkan rasa kagum AS terhadap sistem perbankan Islam yang dilaksanakan di negara ini dan berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenainya.

Leave a Reply