Operasi Mencari Mangsa Banjir Sungai Bertam Diteruskan Pagi Ini #pakdin.my

SAR Sungai Bertam
Pasukan keselamatan yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan awam, Rela serta masayarakat orang asli menyusuri Sungai Bertam untuk mencari mangsa yang masih hilang dalam banjir lumpur yang berlaku di Lembah Bertam, Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS: Gerakan mencari dan menyelamat seorang wanita Indonesia yang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam tragedi banjir lumpur di Sungai Bertam, Ringlet di sini diteruskan pada 8.30 pagi Khamis.

Operasi yang diketuai Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Mohd Zahari Wan Busu itu melibatkan 328 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada polis, bomba dan penyelamat, tentera, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Rela.

“Anggota yang terlibat akan bertambah kerana gerakan mencari dan menyelamat dilakukan secara bergilir-gilir,” katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata kawasan operasi diperluaskan sepanjang lapan kilometer bermula dari tempat mangsa dihanyutkan sehingga ke arah bawah sungai.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati hujan renyai pada awal pagi dan cuaca kini mendung.

Kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam kira-kira 1 pagi semalam akibat pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar itu menyebabkan tiga terbunuh, seorang hilang dan seorang cedera manakala 80 rumah serta kira-kira 100 kenderaan musnah.

 

Rumah Rosak Dilanda Banjir Lumpur Bertam Dibina Secara Haram

Pejabat Daerah Cameron Highlands mengesahkan sebahagian rumah rosak dilanda banjir lumpur itu dibina secara haram di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS.

Menurut Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ahmad Daud, kebanyakannya dihuni warga asing yang bekerja di ladang sekitar.

Menurutnya, kerajaan Pahang merancang untuk mendalamkan sungai terbabit selepas ia mula cetek berikutan pembangunan pesat di kawasan itu.

Bancian sedang dilakukan untuk menilai jumlah kerugian akibat kejadian itu.

Berkaitan