‘Orang tidur, dia meraba’

PELAJAR perempuan mendakwa diraba seorang lelaki warga Thailand ketika berada dalam bas ekspres di Terminal Bas Lembah Sireh di Kota Bharu semalam.

Bagaimanapun, lelaki berusia 49 tahun berjaya ditahan kira-kira 6 pagi hari yang sama untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa yang berusia 15 tahun dalam perjalanan dari Selangor ke Kota Bharu dengan menaiki bas itu pada 9.40 malam.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan itu mangsa dikatakan tidur sebelum dia berasa seperti ada tangan meraba kepalanya.

Katanya, apabila tersedar didapati tangan suspek yang duduk di belakangnya berada di bahunya.

“Dia kemudian menepis tangan suspek dan bertanya mengapa berbuat demikian tetapi lelaki itu memberitahu tangannya terjatuh di bahu mangsa dan dia kembali tidur.

“Apabila hampir tiba di Kota Bharu, mangsa sekali lagi berasa leher dan pipinya diraba dan tangannya dipegang oleh lelaki yang sama.

“Mangsa kemudiannya menghubungi keluarganya dan apabila tiba di Terminal Bas Lembah Sireh, bapa pelajar terbabit menghubungi polis sebelum suspek ditangkap,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 24 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017,” katanya.