PAC puas hati penjelasan Arul Kanda

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tampil memberi keterangan buat kali pertama kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Bangunan Parlimen.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan penjelasan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy mengenai 1MDB pada prosiding yang diadakan di Parlimen hari ini.

Pengerusinya, Datuk Hasan Arifin berkata, dalam prosiding yang berlangsung kira-kira tiga jam itu, Arul Kanda telah menerangkan pelan rasio­nalisasi 1MDB.

“PAC telah selesai mengadakan pro­siding pengurusan kawalan tadbir urus 1MDB membabitkan Arul Kanda hari ini dan saya berpuas hati atas penjelasan beliau,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Hari ini, PAC meneruskan prosiding buat kali kedua terhadap Arul Kanda di bangunan Parlimen bermula pada pukul 9 pagi ini.

Bagaimanapun, media tidak dibenarkan memasuki kawasan Parlimen untuk membuat liputan prosiding tersebut.

Arul Kanda telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada PAC mengenai isu 1MDB pada 
1 Disember lalu.

Dalam pada itu, Hasan berkata, PAC akan meneruskan prosiding pengurusan kawalan tadbir urus 1MDB dengan memanggil Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin pada 19 Januari ini untuk memberi keterangan.

“PAC juga akan memanggil bekas Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat berkenaan, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh pada 20 Januari 2016.

“Jika ada keperluan bagi melengkapkan siasatan, PAC juga akan memanggil semula bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi,” katanya.

Menurut beliau, PAC memberi masa kepada Jabatan Audit Negara untuk melengkapkan Laporan Audit Akhir 1MDB yang dijangka dibentangkan selewat-lewatnya pada akhir Februari 2016.

Comments (No)

Leave a Reply