Paderi Lawrence Andrew Digesa Tarik Kenyataan - pakdin.my

gereja-selangor-berkeras-guna-kalimah-Allah

Badan Perhubungan UMNO Selangor menyifatkan kenyataan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew sengaja mencabar dan mempertikaikan kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Negeri ini apabila dinyatakan mahu gereja Katolik terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Abdul Shukor Idrus berkata, paderi itu tidak sepatutnya membuat kenyataan tersebut kerana Sultan Selangor sebelum ini telah pun menitahkan semua rakyat daripada pelbagai kaum dan agama supaya akur dan patuh terhadap larangan pengunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

“Sultan Selangor adalah Ketua Negeri dan Ketua Agama Islam Negeri. Melihat titah baginda mengenai larangan tersebut, ia jelas bertujuan untuk menjamin serta memastikan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, UMNO Bahagian Kota Raja melalui ketua bahagian itu, Kamaruzzaman Johari dan Ketua Pemudanya, Mohamad Khusyairi Abdul Aziz mahu paderi itu memohon maaf kepada umat Islam di negara ini.

“Kita perlu bertegas serta tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan ini. Tindakan ini biadab dan kita mahu beliau memohon maaf kepada seluruh umat Islam,” kata Kamaruzaman.

Mohamad Khusyairi pula mahu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak tegas dalam perkara itu kerana kenyataan untuk terus menggunakan kalimah Allah mencabar enakmen yang telah ditetapkan di negeri Selangor.

Pada perkembangan sama, UMNO Bahagian Gombak memberi tempoh sehingga Sabtu depan untuk Andrew menarik balik kenyataannya itu.

Ketuanya, Abdul Rahim Kamarudin berkata, pihaknya bertegas sekiranya Andrew gagal berbuat demikian sehingga Sabtu ini, pergerakan itu akan mengadakan bantahan secara aman di hadapan semua gereja di Selangor pada Ahad depan.

UMNO Bahagian Pandan melalui ketuanya, Datuk Mohd. Haniff Koslan turut mendesak Andrew menarik balik kenyataan tersebut serta memohon maaf secara terbuka.

“Seorang paderi yang berpengalaman luas sepatutnya bertindak menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya.

 

UTAMAGAYA HIDUPAGAMAPaderi Lawrence Andrew Digesa Tarik Kenyataan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium