Pakai niqab tanpa pelitup adalah salah di sisi undang-undang #pakdin.my

KUALA LUMPUR: Pakai niqab atau pelindung muka tanpa pelitup hidung dan mulut adalah salah di bawah Akta 342, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu beliau menjelaskan, ia tidak boleh menjadi alasan untuk tidak memakai pelitup muka.

“Di bawah Akta 342, yang diwajibkan adalah memakai pelitup muka di tempat awam, selain pelitup muka ia tidak boleh dijadikan alasan, macam pelindung muka dan niqab tidak boleh dijadikan alasan tidak pakai pelitup muka.

“Kalau memakai pelindung muka dan niqab tidak memakai pelitup muka di dalamnya, ia tetap salah di bawah Akta 342,” katanya menurut Bernama.

Di bawah Garis Panduan Penetapan dan Pengurangan Nilai Kompaun, kerajaan Malaysia memutuskan kesalahan ringan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan fizikal serta tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau merekod butiran diri ketika memasuki premis akan dikenakan kompaun RM1,500 ((to convert)).

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seremban, Penolong Pesuruhjaya Mohd. Said Ibrahim mendedahkan pihaknya sudahpun membuka kertas siasatan terhadap selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor selepas gambarnya yang mengenakan niqab tanpa memakai pelitup ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada Khamis (20 Mei) tular di media sosial.

Astro Awani melaporkan kertas siasatan dibuka selepas Neelofa didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup seperti yang diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambah Encik Mohd. Said, penjelasan tentang SOP tersebut juga sudahpun dikeluarkan oleh KKM setelah kerajaan Malaysia mewajibkan pemakaian pelitup di semua tempat awam mulai 1 Ogos 2020.

Menurut laporan Kosmo! Online, Dr. Noor Hisham pada Oktober lalu pernah menyarankan wanita berpurdah supaya turut memakai pelitup sebagai pelindung jangkitan COVID-19.

“Purdah satu lapisan tidak cukup (menghindari jangkitan) jadi disyorkan kepada mereka yang memakai purdah supaya turut menggunakan pelitup muka,” kata beliau kepada Kosmo!Online.

– Agensi berita/SM/sm

Berkaitan