Pakistan sasar penanaman ganja ‘hemp’ untuk pasaran global - pakdin.my

ISLAMABAD: Pakistan merancang untuk membenarkan penanaman ‘hemp’ (spesies ganja) secara komersial dan membantu golongan petani serta perniagaan memanfaatkan pulangan lumayan pasaran ganja peringkat global.

Cadangan itu dikemukakan ketika kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Imran Khan, terdesak untuk meningkatkan kadar pertukaran asing yang menguncup akibat kegawatan ekonomi, defisit fiskal dan inflasi.

Menteri Sains dan Teknologi, Fawad Chaudhry, berkata pasaran industri ‘hemp’ global bernilai kira-kira AS$25 bilion (RM101.14 bilion) dan masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Beberapa negara sudah melonggarkan undang-undang berkaitan penggunaan produk berasaskan ganja seperti minyak cannabidiol (CBD) dan kini masa sesuai untuk meneroka pasaran terbabit.

“Pakistan mampu memperoleh kira-kira AS$1 bilion (RM4.17 bilion) menerusi pasaran ‘hemp’ dalam tempoh tiga tahun akan datang dan kita kini dalam proses melaksanakan rancangan ini,” katanya.

Tambah Chaudry, kerajaan akan mengawal penghasilan ‘hemp’, namun pihak swasta dan petani dibenarkan menyertai pasaran berkenaan pada suatu tempoh yang akan ditetapkan.

Katanya, dengan industri kapas negara itu semakin menguncup, ‘hemp’ akan membuka ruang dan peluang alternatif kepada golongan petani.

‘Hemp’ adalah sejenis tumbuhan spesies ganja mengandungi CBD, yang mana kumpulan pakar berkata ia memiliki banyak khasiat bagi tujuan perubatan serta tidak mengandungi tetrahydrocannabinol (THC) atau bahan khayal pada kadar yang tinggi.

‘Hemp’ tumbuh meliar di serata Pakistan terutama di Islamabad, di mana rumpun besar menjadi pandangan biasa di bulatan trafik. – AFP

UTAMADUNIAPakistan sasar penanaman ganja 'hemp' untuk pasaran global

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium