Pancing undi nelayan guna dana kerajaan salah, alasan menteri pula memalukan – BERSIH 2.0

Biarpun tidak melanggar undang-undang, namun tindakan kerajaan Pakatan Harapan menyalahgunakan sumber kerajaan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah salah.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merujuk kepada pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal iaitu seramai 1,513 nelayan di selatan Johor, termasuk 544 nelayan daripada Tanjung Piai akan menerima bantuan khas nelayan.

Bantuan daripada kerajaan sebanyak RM1,000 setiap seorang itu akan dibuat bermula minggu hadapan.

“Percubaan untuk memancing undi daripada nelayan tidak bertentangan dengan undang-undang sedia ada tetapi ianya jelas sekali tidak beretika untuk parti politik menggunakan duit pembayar cukai bagi memenangi pilihan raya,” kata Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam kenyataan di sini.

Sehubungan dengan itu, BERSIH 2.0 menggesa Menteri Besar Johor menunjukkan bahawa kerajaan PH mematuhi prinsip-prinsip pilihan raya bebas dan adil dengan menghentikan pemberian dan peruntukan kerajaan yang lain sehingga PRK Tanjung Piai selesai.

Kata Bersih 2.0, pihaknya maklum bahawa tugas kerajaan perlu terus berjalan semasa PRK namun untuk kawasan yang sedang dipertandingkan, sebarang pengumuman atau pemberian dan peruntukan perlu dihentikan sebaik sahaja kerusi tersebut diisytiharkan kosong.

“Atau diberikan selepas daripada berakhirnya PRK bagi memastikan padang permainan yang sama rata,” kata kenyataan itu lagi.

Selain isu pemberian bayaran kepada nelayan, Bersih 2.0 juga merekodkan beberapa laporan menteri kerajaan persekutuan mengumumkan peruntukan wang tunai semasa lawatan mereka ke Tanjung Piai, sebelum dan semasa tempoh berkempen.

Katanya, alasan menteri-menteri seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Rina Harun dan Datuk Salahuddin Ayub bahawa pengumuman tersebut adalah didorong kemurahan hati mereka yang kebetulan dengan pada musim PRK adalah sangat memalukan.

“BERSIH 2.0 sekali lagi menegaskan bahawa kami tidak mengatakan bahawa menteri-menteri ini telah melanggar undang-undang pilihan raya kerana undang-undang penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen masih belum digubal.

“Kami menggesa untuk semua penggubal undang-undang daripada semua parti untuk menyokong reformasi pilihan raya dan pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memastikan apabila tiba waktu pilihan raya, padang permainannya adalah sama rata,” kata BERSIH 2.0.

Loading...