Panduan Dan Peringatan Buat Calon PRU13 - pakdin.my

PRU 13Debaran menunggu tarikh pilihan raya akan berakhir tidak lama lagi kerana kerajaan sedia ada akan mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat pada bila-bila masa sebelum 28 April 2013. Lebih-lebih lagi mandat Dewan Rakyat akan berakhir pada tarikh yang sama.

Ahli politik semua parti sama ada dalam kerajaan atau pembangkang bertanding untuk 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak.

Bagaimanapun pasti ada yang terfikir apa keperluan untuk bertanding dalam pilihan raya, terutama Pilihan raya Umum Ke-13 (PRU 13), yang akan memperkenalkan beberapa peraturan baharu untuk memastikan lebih ketelusan.

Untuk mendidik masyarakat umum dan media, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengadakan sesi taklimat di Bernama pada 17 Jan. Semasa taklimat itu, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar membangkitkan beberapa perkara berkaitan calon dan peraturan baharu.

KELAYAKAN MENJADI CALON

Antara syarat menjadi calon pilihan raya ialah pastinya seseorang itu warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas. Calon mestilah tidak tergolong dalam kategori bankrap yang belum dilepaskan dan tidak disabit kesalahan oleh mahkamah dalam tempoh lima tahun sebelum ini.

Mereka yang tidak dibenarkan bertanding ialah pemegang jawatan dalam perkhimatan kerajaan dan orang yang disahkan tidak siuman.

Wan Ahmad berkata bagi calon yang pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini, calon itu mestilah tidak gagal daripada mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya sebelumnya.

“Sehingga hari ini terdapat lebih 50 calon pilihan raya 2008 yang masih gagal mengemukakan penyata ini. Mereka tahu siapa diri mereka, dan kami tak mahu kejar mereka,” jelas Wan Ahmad.

Beliau menambah kata SPR tidak akan mengumumkan nama mereka, demi kebaikan semua pihak.

PENAMAAN CALON

Tiga perkara yang diperlukan ketika membuat permohonan sebagai calon ialah ada kertas penamaan calon, borang perakuan berkanun dan deposit calon pilihan raya.

Semua ini perlu diserahkan di pusat-pusat penamaan calon yang berkenaan antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi pada hari penamaan calon.

Pegawai pengurus pilihan raya akan menyemak setiap kertas penamaan yang diterima dan akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik semua urusan penyemakan selesai.

Untuk PRU 13, buat pertama kali tidak ada lagi tempoh bantahan dan penarikan balik pencalonan, sesuai dengan peraturan 9, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan)(No.2) 2012 yang berkuat kuasa 27 April 2012.

Penyerahan kertas penamaan calon boleh dilakukan dengan tiga cara. Pertama, dengan kehadiran calon, pencadang dan penyokong. Jika tidak, hanya dua daripada mereka atau seorang daripada mereka perlu hadir untuk membuat serahan permohonan.

Borang Akuan Berkanun yang diserahkan mesti sudah dimatikan setem di pejabat duti setem. Borang 5 diguna oleh calon kerusi parlimen manakala borang 5A untuk kerusi Dewan Undangan Negeri.

DEPOSIT

Perlu diingat, deposit calon pilihan raya adalah berbeza daripada deposit bahan kempen. Deposit bernilai RM10,000 untuk calon kerusi parlimen dan RM5, 000 untuk calon kerusi DUN boleh dibayar dalam bentuk wang tunai atau draf bank pada hari pencalonan.

Ia juga boleh dibayar lebih awal kepada SPR dan calon hanya perlu membawa resit deposit semasa menyerahkan permohonan menjadi calon.

Bagi tujuan kempen, calon-calon perlu membayar deposit bahan kempen bernilai RM5,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM3,000 bagi pilihan raya DUN.

Untuk pemasangan poster pula, calon-calon perlu berurusan dengan pihak berkuasa tempatan. Kelulusan pihak polis juga perlu untuk mengadakan ceramah terbuka.

“Ingin saya jelaskan di sini, wang ini yang akan digunakan sebagai peruntukan pembersihan semula kawasan kempen sekiranya mereka (calon-calon) gagal berbuat demikian,” katanya menjawab soalan tentang kegunaan dana berkenaan.

ISU BAHAN KEMPEN

Satu ‘tradisi’ dalam pilihan raya ialah kecaman terhadap SPR kerana bertindak menurunkan poster, bendera, kain rentang, sepanduk atau lain-lain bahan kempen yang dipasang.

“Yang menjadi isu selama ini ialah bila banyak pihak tidak faham peraturan pilihan raya. Mengikut peraturan, hanya bahan kempen parti yang bertanding di kawasan itu sahaja boleh dipasang. Jadi bila ada parti yang tidak bertanding di kawasan itu turut menaikkan bahan kempen mereka, SPR perlu menguatkuasakan undang-undang,” jelas Wan Ahmad.

Tambah beliau, kes ini sering berlaku bila beberapa parti politik yang mahu dilihat bergerak sebagai sebuah perikatan, tetapi sebenarnya masih atas kapasiti sendiri. “Yang bertanding cuma satu parti, tapi kenapa bahan kempen yang naik daripada macam-macam parti?” beliau bertanya.

Sering kali, petugas SPR menjadi mangsa kemarahan pihak yang terlibat, sehingga membahayakan keselamatan mereka.

“Dalam satu kes, kakitangan kami dikepung oleh penyokong-penyokong parti berkenaan hingga pukul empat pagi. SPR terpaksa meminta bantuan polis untuk menyelamatkan mereka,” jelas Wan Ahmad.

Sebagai alternatif, beliau menasihatkan parti-parti politik yang ingin bergerak sebagai sebuah perikatan agar mendaftarkan perikatan mereka dengan SPR. Setelah menjadi satu perikatan yang sah, mereka boleh menggunakan satu logo yang seragam demi kebaikan semua pihak, terutama pengundi.

SUSUN ATUR TEMPAT MENGUNDI

Demi memastikan ketelusan perjalanan PRU 13, SPR telah mengubah suai kedudukan Ejen Tempat Mengundi (ETM), untuk membolehkan mereka memerhati perjalanan pengundian dengan lebih teliti.

ETM diletakkan pada kedudukan yang membolehkannya melihat pengundi masuk dan bergerak ke arah Kerani Pengundian (KP) satu, dua dan tiga.

Dalam kedudukan ini, ETM boleh melihat pengundi berdiri di hadapan KP dua untuk dicalit jarinya dengan dakwat kekal.

Seterusnya, ETM boleh melihat dengan jelas pergerakan pengundi pergi ke petak undi dan akhirnya mememasukkan kertas undi ke dalam peti undi. Tambah Wan Ahmad, diharapkan dengan penamabahbaikan ini, dapatlah memuaskan hati parti-parti yang bertanding bahawa PRU dijalankan degan adil dan telus.

TIDAK PERLU RAGU

Perjalanan PRU yang pantas dari saat mula proses pengundian sehinggalah pengumuman pemenang pilihan raya tidak mungkin mengizinkan berlakunya sebarang penipuan.

“Kita tiada masa, ruang atau peluang untuk menjadikan PRU 13 tidak telus. Saya cabar mana-mana pihak yang ragu dengan SPR untuk mengemukakan bukti mereka,” tegas Wan Ahmad.

Beliau berkata sistem pilihan raya di Malaysia juga telah menjadi contoh kepada banyak negara lain di dunia, seperti Mali, Uzbekistan, Tajikistan, Timur Timor (Timur Leste) dan Kemboja yang belajar cara pelaksanaannya di Malaysia.

“Pilihan raya kita, siang mengundi, malam sudah dapat keputusan penuh. Di sesetengah negara jiran, ia mengambil masa berminggu-minggu, bahkan ada yang makan masa berbulan-bulan,” jelas beliau.

Pada PRU 13 ini, keputusan pilihan raya pertama dijangka dapat diumumkan seawal pukul 7 malam. SPR juga telah membina aplikasi komputer yang bakal melancarkan lagi proses menganalisis perjalanan pilihan raya di seluruh negara.

UTAMAPILIHAN RAYAPanduan Dan Peringatan Buat Calon PRU13

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium