Parah Ditembak Dalam Kejadian Samun Di Temerloh - pakdin.my

rompakan bersenjata temerloh

TEMERLOH  — Seorang lelaki cedera parah akibat ditembak tiga das dalam kejadian samun di hadapan sebuah bank di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini malam tadi.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata dalam kejadian pukul 11 malam itu, mangsa yang berumur 31 tahun sedang menuju ke keretanya apabila didatangi tiga lelaki bersenjatakan api.

“Mangsa telah diugut supaya menyerahkan barang berharga miliknya, namun dia enggan dan cuba melawan menyebabkan salah seorang suspek melepaskan tiga das tembakan ke arahnya,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Berikutan itu mangsa yang bekerja sebagai pemandu di sebuah sekolah menengah di sini telah mengalami kecederaan parah di bahagian bahu kiri dan perut kanan.

Suspek yang dipercayai dari luar daerah ini melarikan diri apabila menyedari kehadiran orang ramai berhampiran kawasan kejadian, katanya.

“Dalam keadaan berdarah, mangsa telah memandu keretanya ke Balai Polis Temerloh yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan kejadian dan memaklumkan beliau telah ditembak.

“Berikutan itu polis telah menghantarnya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata Sharifuddin.

Mangsa difahamkan telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru pada pagi tadi dan kini dilaporkan stabil dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi.

Beliau berkata pihak polis menemui dua butir peluru hidup dan tiga kelonsong peluru selain beberapa barangan peribadi suspek yang dipercayai tercicir semasa pergelutan dengan mangsa.

Sharifuddin berkata polis percaya kesemua suspek masih berada di sekitar bandar Temerloh berdasarkan maklumat orang awam yang nampak mereka melarikan diri dengan berjalan kaki.

“Ops tutup sedang diperhebatkan bagi mengesan suspek termasuk dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Anuar Othman berkata sebelum kejadian itu, ketiga-tiga suspek telah cuba menyamun satu pasangan di sebuah kafe berhampiran bank berkenaan, namun gagal.

“Selepas gagal menyamun pasangan tersebut, suspek telah bergerak ke arah bank berkenaan dan cuba pula menyamun mangsa tetapi turut gagal,” katanya.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Senjatapi (penalti Lebih Berat) 1971 (melepaskan tembakan dalam melakukan kesalahan samun).

Kakak mangsa yang hanya mahu sebagai Nana ketika berkata adiknya telah mula sedarkan diri.

“Dia masih lemah, tetapi sudah boleh bercakap dengan anggota keluarga yang lain. Doktor memberitahu dia bernasib baik kerana peluru tidak mengenai organ dalamannya,” katanya.

UTAMABERITAParah Ditembak Dalam Kejadian Samun Di Temerloh

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium