Paras sungai di ibu negara dalam pantauan ketat, elak gelombang kedua - pakdin.my

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus memantau aras air sungai di kawasan ibu negara dalam memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi jika berlakunya gelombang kedua banjir, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Daripada kementerian sendiri fokus kami adalah di Klang, tetapi untuk di ibu negara dengan pelbagai penglibatan daripada jabatan dan agensi juga dengan sistem kamera yang kami ada, boleh memberikan makluman awal.

“Ini kerana melalui penggunaan kamera yang fokus kepada kawasan aliran air, kami akan dapat maklumat lebih awal mengenai kemungkinan berlaku gelombang kedua dan sebagainya,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada penduduk di Jalan Tiong Nam di sini, hari ini.

Hari ini sebanyak 301 keluarga yang terjejas akibat banjir menerima BWI sebanyak RM1,000 dan bantuan wang tambahan sebanyak RM300 dari Yayasan Wilayah Persekutuan melibatkan 129 keluarga di Jalan Tiong Nam, 55 keluarga di Taman Hock Ann dan 117 keluarga di Kampung Petaling Bahagia.

Pemberian bantuan di ibu negara itu telah bermula pada 28 Dis lepas kepada keluarga yang terkesan dengan banjir, tanah runtuh dan kebakaran.

Seorang penerima, Lim Yat Siew, 57, berkata bantuan kewangan yang diberikan amat membantu untuk membiayai kerja-kerja baik pulih rumahnya yang telah rosak akibat dilanda banjir.

“Wang itu saya guna untuk baiki pintu yang telah rosak dan kerja-kerja baik pulih sistem wayar seperti fius, plug dan juga untuk saya beli dahulu barang-barang keperluan asas,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Lim juga memuji tindakan pantas pihak DBKL dalam melakukan kerja pembersihan di kawasan kejiranan itu dan berdasarkan tinjauan Bernama kawasan itu yang telah dilanda banjir kelihatan bersih dan tiada sampah pukal di tepi jalan.

— BERNAMA

 

UTAMABERITAAMParas sungai di ibu negara dalam pantauan ketat, elak gelombang kedua

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium