PAS alu-alukan PPBM untuk sertai Muafakat Nasional - pakdin.my

PAS mengalu-alukan dan menyambut baik pengumuman Majlis Pimpinan Tetinggi PPBM yang telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyertaan PPBM akan memperkukuhkan asas pembinaan Muafakat Nasional iaitu penyatuan ummah.

“PAS juga yakin penyertaan PPBM akan memberi peluang yang lebih besar untuk menempa kejayaan dalam PRU Ke-15 yang akan datang,” ujar beliau.

Muafakat Nasional maklumnya, akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan satu pengisytiharan rasmi bersempena ulang tahun pertama pembentukan Muafakat Nasional.

Tegas beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, agenda penyatuan ummah sentiasa diutamakan dengan meletakkan Islam dan keikhlasan sebagai asas kepada penyatuan itu.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PPBM telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar.

“Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk PPBM. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara PPBM, Umno, PAS dan parti-parti lain dalam Kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat telah pun berada di pihak kita,” katanya.

Muhyiddin memaklumkan, perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ketika berucap pada perutusan bersempena persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian PPBM 2020, semalam.

Muhyiddin juga menegaskan, beliau sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan Umno, PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional.

Jelasnya, beberapa persetujuan utama telah dicapai dalam pertemuan-pertemuan itu yang antara lain akan memperkukuhkan lagi kedudukan PPBM dan parti-parti rakan yang lain dalam Perikatan Nasional.

“Insya-Allah, penyatuan dalam jemaah besar ini akan mewujudkan kestabilan politik negara yang pastinya memberikan limpahan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Kata Muhyiddin, PPBM sejak empat tahun penubuhannya kini mempunyai lebih 420,000 ahli, 197 Bahagian dan 2,950 Cawangan berdaftar.

UTAMAPOLITIKPAS alu-alukan PPBM untuk sertai Muafakat Nasional

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium