27 C
Kuala Lumpur
Tuesday, January 19, 2021

PAS: Dilema Antara Sokongan Sekutu Dan Perjuangan Hudud

hudud pakatan pembangkang

Hari ini adalah hari yang dinantikan banyak pihak untuk melihat sama ada pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang akan dibentangkan kerajaan Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu mendapat sokongan padu anggota DUN.
Pemerhati politik menjangkakan bahawa pembentangan pindaan hukum hudud itu pada sidang DUN kali ini akan diluluskan dengan mudah, tambahan pula rang undang-undang persendirian itu diperkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-13 2015 di Kompleks Kota Darulnaim semalam, baginda berharap rang undang-undang itu atau hukum hudud memperoleh kejayaan dan mendapat sokongan semua pihak.
ANTARA SOKONGAN DAN PERJUANGAN
Antara sokongan rakan pakatan dan perjuangan parti, manakah yang menjadi keutamaan buat PAS?
Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata PAS dilihat lebih memilih syariah Islam daripada sokongan sekutu dalam pakatan pembangkang.
“Bagaimanapun, PAS masih mengharapkan sokongan pengundi rakan mereka tetapi mereka melihat isu hudud adalah hak mereka. Kalau mereka takut kehilangan undi, PAS sejak awal lagi menangguhkan hukum hudud,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata PAS menjalin kerjasama dengan DAP sejak 1999 manakala isu hukum hudud berbangkit sejak 1993. Namun, sehingga kini DAP masih tidak dapat menerima hukum hudud.
“Pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan tahaluf siyasi (antara PAS-DAP),” katanya.
Mohd Izani berkata tiada keperluan untuk PAS menangguhkan pelaksanaan hukum hudud meskipun mendapat tentangan daripada rakan sekutunya.
“Apabila PAS bertegas untuk laksanakan hudud, parti itu telah memikirkan risiko sokongan terhadap mereka,” katanya.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali hari ini dilapor sebagai berkata PKR menyifatkan hukum hudud yang ingin dilaksanakan PAS Kelantan tidak perlu disegerakan memandangkan ia bukan dasar bersama yang dipersetujui parti pakatan.
BERJAYAKAH PEROLEH SOKONGAN?
Pensyarah UPM itu berkata kerajaan negeri pimpinan PAS itu yakin akan mendapat sokongan tidak berbelah-bahagi di peringkat DUN.
“Keadaan akan (menjadi) lebih menarik apabila perbahasan diadakan di peringkat Parlimen nanti,” katanya.
PAS kini dilihat bersendirian dalam isu hukum hudud, yang menjadi agenda perjuangan parti itu selama ini selepas gagal ‘menambat hati’ dua rakan sekutunya PKR dan DAP untuk memberi ruang, peluang dan sokongan kepada PAS.
Berjayakah PAS meraih sokongan kesemua 132 anggota Parlimen yang beragama Islam terhadap pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 iaitu untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan?
Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada negeri melaksanakan kanun jenayah syariah itu manakala kerajaan persekutuan akan membawa pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah tersebut yang berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah syariah.
Mohd Izani berkata PAS dijangka mendapat sokongan daripada UMNO di Parlimen, namun dalam masa yang sama konflik dalaman pakatan pembangkang akan lebih membarah lantaran keengganan kedua-dua rakan sekutunya memberikan sokongan.
“PAS tidak akan keluar daripada Pakatan Rakyat dan isunya PAS mungkin akan disingkirkan oleh DAP dan PKR. DAP dan PKR perlu berhati-hati jika mahu singkirkan PAS kerana mereka masih perlukan parti itu untuk mendapatkan sokongan rakyat,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pakatan pembangkang akan berpecah namun berpandangan tidak mustahil akan bertaut kembali khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.