Pas siasat komplot guling Abdul Hadi

mat-sabu-serang-hadi-awang

Pas telah memulakan siasatan terhadap dakwaan dua pemimpin kanannya yang menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Pengarah Pilihan Raya parti, Dr. Mohd. Hatta Ramli akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, keterangan juga akan diambil daripada individu-individu yang membuat tuduhan terhadap Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan Mohd. Hatta.

“Siasatan akan mengambil kira semua sudut dan dijangka selesai sebelum Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 berlangsung Jun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wakil Dewan Ulama Pas Kedah, Fauzi Hussin mengaitkan Mohamad dan Mohd. Hatta sebagai dalang untuk menjatuhkan Abdul Hadi sewaktu membahaskan ucapan Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakob dalam Multaqa Ulama SeMalaysia II di Serdang Jaya, Selangor, kelmarin.

Semalam, beberapa pemimpin kanan Pas termasuk Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria meminta kedua-duanya tampil memberi penjelasan bagi membersihkan nama mereka.

Pendedahan tentang komplot terancang dipercayai didalangi sekumpulan pemimpin Pas dengan matlamat untuk menjatuhkan Abdul Hadi dan kepemimpinan ulama dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Kuantan, Fadhli Ibrahim pada 8 Februari lalu.

Sementara itu, Mohd. Hatta ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan mengulas tentang isu berkenaan.

“Salam. Tiada ulasan dari saya,” katanya dalam mesej yang dihantar melalui aplikasi Whats­App.

Mohamad pula gagal dihubungi untuk mendapatkan ulasan berhubung desakan disuarakan oleh Mahfodz dan Razman itu.

 

 

Berkaitan