Friday - July 30, 2021 @ 19:50
BERITANASIONALPasangan mengamuk di perkarangan JPM - Lelaki dakwa dia 'Imam Mahadi'

Pasangan mengamuk di perkarangan JPM – Lelaki dakwa dia ‘Imam Mahadi’

Katanya, kedua-dua suspek yang menganggur itu dikatakan mengenali satu sama lain sejak seminggu lalu dan Muhdalina adalah bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

 

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid memberi butiran terperinci pada sidang akhbar di sini hari ini berhubung kes seorang lelaki mengamuk bersama seorang wanita dengan melibas pedang samurai di luar perkarangan Jabatan Perdana Menteri.

PUTRAJAYA 9 Julai – Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini, kecoh apabila seorang lelaki dan wanita dikatakan mengamuk sambil melibas pedang samurai sehingga menyebabkan orang ramai dan penjawat awam lari bertempiaran menyelamatkan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, kedua-dua suspek berjumpa anggota polis bantuan yang mengawal pintu masuk kompleks itu untuk meminta kebenaran masuk ke pejabat Perdana Menteri.

“Apabila tidak dibenarkan, dengan tiba-tiba lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi itu mengeluarkan pedang samurai sebelum mengacukan kepada anggota polis bantuan bertugas.

“Kedua-dua mereka terus bergerak sehingga ke kawasan blok B1 sebelum mengamuk dengan memecahkan cermin beberapa kereta yang berdekatan dengan blok itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan, lelaki yang tidak berbaju itu dikatakan memberitahu mahu menggulingkan kerajaan dan bertakbir beberapa kali.

Kejadian itu menyebabkan orang ramai dan penjawat awam tidak dapat memasuki bangunan tersebut apabila pintu pagarnya ditutup oleh pihak polis bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Serentak itu, Chin Wah berkata, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dikejarkan ke tempat kejadian.

“Anggota-anggota MPV yang sampai cuba memujuk, tetapi diserang oleh kedua-dua suspek dan mereka kemudian ditembak oleh anggota polis berkenaan.

“Suspek perempuan cedera di paha kanan manakala lelaki pula di bahagian tangan dan ari-ari bahagian kiri,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditangkap dan dihantar ke hospital untuk rawatan dan butir-butir suspek serta motif kejadian dalam siasatan.

“Suspek lelaki disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid pada sidang akhbar di pejabatnya berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dikenali sebagai Khalil Afandi Hamid, 47, manakala suspek wanita adalah Muhdalina Ahmad, 28.

Katanya, kedua-dua suspek yang menganggur itu dikatakan mengenali satu sama lain sejak seminggu lalu dan Muhdalina adalah bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Kami juga dimaklumkan bahawa lelaki terbabit memiliki seorang anak manakala suspek perempuan mempunyai dua anak,” katanya.

Ketika ditanya adakah kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan jaringan pengganas, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan polis.

“Begitu juga dengan dakwaan suspek adalah seorang penulis blog yang dikatakan mengutuk pihak berkuasa,” katanya.

 

 


….

Berita terdahulu:

Pasangan mengamuk di perkarangan JPM, Seorang mati (kemaskini)

PUTRAJAYA: Seorang lelaki dan wanita, dipercayai pasangan suami isteri, cedera ditembak selepas membuat kecoh di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, pasangan terbabit cuba menceroboh bangunan dengan membawa pedang samurai.

Satu kenyataan akhbar berhubung maklumat lanjut kes akan dimaklumkan sebentar lagi oleh Pusat Media Kuala Lumpur.

Difahamkan, pengawal keselamatan cuba menghalang mereka,namun kedua-duanya bertindak ganas dan memecahkan sebuah Perodua Kancil dan dua Proton Waja di tempat letak kereta tidak jauh dari bangunan terbabit.

Cubaan polis untuk memujuk pasangan terbabit daripada bertindak lebih ganas tidak diendahkan, sehingga memaksa pihak berkuasa melepaskan tembakan dan mengenai mereka.

Suspek lelaki cedera dibahagian tangan kanan manakala pasangannya dibahagian peha kiri.

Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan seorang daripada suspek yang ditembak ketika membuat kecoh di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri petang tadi meninggal dunia.

+++++++++++

Pasangan mengamuk di perkarangan JPM

PUTRAJAYA 9 Jun – Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di sini kecoh apabila seorang lelaki dan wanita cuba menceroboh bangunan tersebut sambil membawa pedang samurai.

Lelaki bertubuh sasa dan tidak berbaju itu bersama pasangannya yang berhijab hitam kelihatan masuk di pondok pengawal keselamatan pada pukul 2.30 petang.

Bagi mengelak kejadian tidak diingini pasangan tersebut diminta masuk ke perkarangan bangunan.

Bagaimanapun, kedua-duanya bertindak ganas memecahkan sebuah Perodua Kancil dan dua Proton Waja di tempat letak kereta tidak jauh dari bangunan B1 yang menempatkan Biro Pengaduan Awam.

Anggota polis yang tiba di tempat kejadian cuba memujuk pasangan tersebut bagaimanapun gagal memaksa tembakan dilepaskan.

Suspek lelaki yang berseluar jeans cedera di tangan kanan, manakala pasangannya di paha kiri. Kedua-dua dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Kedua-dua suspek dikatakan memberitahu mahu menggulingkan kerajaan dan melaungkan perkataan takbir beberapa kali.

++++++++

+++

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here