Pasangan suami isteri buruh binaan ditemui maut berpelukan di tapak runtuhan LRT

Sepasang suami isteri ditemukan mati dalam keadaan berpelukan di bawah runtuhan konkrit sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Stesen LRT Putra Terminal Gombak, di sini, awal hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, mangsa warga Indonesia dikenali sebagai Alias, 36, dan Ima, 40, dipercayai dihempap kerangka besi yang runtuh.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof berkata mayat kedua-dua mereka yang merupakan buruh binaan ditemui pukul 1.10 petang iaitu kira-kira 40 meter dari lokasi tiga rakan mereka yang terselamat.

“Kehilangan mangsa disedari rakan sekerja yang memaklumkan beliau gagal menghubungi pasangan suami isteri itu sejak kejadian.

“Apabila pemeriksaan dilakukan, pihak bomba menemui kedua-dua mangsa yang tersepit di celah runtuhan konkrit dan kerangka besi dan proses mengeluarkan mangsa agak sukar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar kira-kira 2 petang dan mayat mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

Katanya kesemua buruh binaan telah diarah untuk mengosongkan rumah kongsi di lokasi kejadian bagi membolehkan siasatan dilakukan. 

“Pegawai keselamatan di tapak pembinaan telah dimaklumkan untuk menutup rumah kongsi di tapak pembinaan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan yang struktur bangunan yang lemah merupakan antara faktor runtuhan itu berlaku. 

“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam kejadian runtuhan itu, tiga buruh binaan terselamat. Dua warga Indonesia berjaya diselamatkan awal pagi tadi manakala seorang lagi mangsa warga Bangladesh yang tersepit dalam runtuhan itu berjaya dikeluarkan enam jam kemudian. — Bernama

Comments (No)

Leave a Reply