Pasport Antarabangsa Malaysia ‘hilang kuasa’ - pakdin.my

London: Pasport Malaysia tidak lagi berada dalam senarai 10 yang paling berkuasa di dunia berdasarkan indeks terbaru diumumkan yang melihat negara Asia menguasai di tempat teratas dengan Jepun di tangga pertama.

Warga Jepun mampu bergerak tanpa visa atau memperolehnya sebaik tiba di 190 negara, lapor Indeks Pasport Henley 2019.

Ini disusuli Singapura dan Korea Selatan di tempat kedua dengan rakyat dua negara itu mampu memasuki 189 destinasi tanpa perlu memohon visa terlebih dulu.

Menurut Henley & Partners, ini kedudukan tertinggi dicapai Korea Selatan dalam indeks pasport berkenaan yang dibuat hasil data daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), lapor The Independent.

“Dominasi berterusan negara Asia dalam indeks pasport membayangkan kesan menakjubkan akibat mobiliti dan migrasi di rantau itu,” kata Henley & Partners.

Jerman dan Perancis terletak di tangga ketiga dengan akses kepada 188 destinasi tanpa visa manakala Amerika Syarikat serta United Kingdom bersama-sama di tangga keenam dengan akses ke 185 destinasi.

Ia penurunan signifikan berbanding 2015 ketika pasport Amerika serta Britain berada di tahap paling kukuh.

Denmark, Finland, Itali dan Sweden semuanya di tangga keempat manakala Sepanyol serta Luxembourg bersama di tempat kelima.

Dua negara paling lemah pasportnya adalah Iraq dan Afghanistan yang cuma mempunyai akses bebas visa ke 30 negara.

Tahun lalu, Indeks Henley meletakkan pasport Malaysia sebagai yang ke-10 paling berpengaruh namun jatuh tahun ini ke tangga ke-12.

Sementara itu, Indeks Pasport 2018 oleh Arton Capital awal tahun lalu yang meletakkan pasport Malaysia di tangga kelima paling berkuasa pada 2018, tahun ini jatuh ke tangga kelapan.

Pada masa sama, Indeks Henley menyebut pasport China juga semakin menunjukkan pengaruh sejak beberapa tahun lalu.

Pada 2017, pasport China tersenarai di tangga ke-85 namun kini di tempat ke-69 dengan rakyatnya mampu pergi ke 74 negara tanpa memerlukan visa terlebih dulu.

Secara keseluruhan, indeks itu merumuskan trend lebih positif terhadap keterbukaan visa dan perjanjian bersama antara negara sejak senarai berkenaan dimulakan 14 tahun lalu.

Data terdahulu menunjukkan bahawa pada 2006, seseorang mampu pergi ke 58 destinasi tanpa visa; kini jumlahnya dianggarkan 107 negara.

UTAMABERITAPasport Antarabangsa Malaysia 'hilang kuasa'

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium