#PAU2019: Jangan ada anai-anai, desperado dalam UMNO - pakdin.my

Perwakilan UMNO Pulau Pinang mencabar Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengadakan perjumpaan sulit dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini meletakkan jawatan.

Datuk Omar Faudzan menegaskan, mereka langsung tidak mempunyai jati diri dan semangat juang sebagaimana ribuan jentera parti dari seluruh negara berkampung lebih dua minggu di Tanjung Piai berkempen memenangkan calon BN pada pilihan raya kecil 16 November lalu.

Katanya, ahli parti selama ini menuduh PKR yang membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersama DAP, PAN dan PPBM mengencing rakyat, tetapi dalam UMNO juga ada pemimpin yang kencing ahli.

“Saya bawa ratusan jentera ke Tanjung Piai untuk bantu kempen calon BN. Bila keputusan memihak kepada BN dengan lebih 15,000 majoriti undi, kami cukup gembira, pulang ke rumah dengan kegembiraan.

“Tapi keesokannya saya terima panggilan dari seorang jentera yang tiba-tiba menghambur kata-kata memaki hamun saya. Saya terkejut dan tanya kenapa.

“Mereka marah dengan tindakan sekumpulan Ahli Parlimen UMNO yang terhegeh-hegeh berjumpa menteri PH untuk minta peruntukan. Mana jati diri mereka, mana semangat perjuangan mereka?,” soalnya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Perbahasan beliau mendapat sorakan ribuan perwakilan yang bersetuju dengan hujah terhadap tindakan pemimpin UMNO yang menyamai desperado itu.

Menurutnya lagi, sepanjang lebih 60 tahun BN memerintah, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen dari PKR mahupun Pas ketika pembangkang dahulu datang jumpa menteri UMNO untuk menagih peruntukan.

“Apa nak jadi dengan Ahli Parlimen UMNO ini. Baru 18 bulan jadi pembangkang sudah buat perangai. Berpuluh tahun Pas dan PKR jadi pembangkang, pernahkan mereka merempat datang jumpa menteri UMNO nak peruntukan?

“Mana jati diri pemimpin UMNO? Kalau tak ada jati diri, jangan jadi pemimpin, bagi sahaja pada kami.

“Kami di bawah dapat banyak tawaran dari PPBM, tapi kami tolak sebab semangat jati diri kami lebih kuat dari yang di atas (Ahli Parlimen),” katanya.

Beliau turut menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertegas dengan sikap pemimpin seperti itu.

“Kadang-kadang saya tengok presiden nak jawab pun takut… Jangan takut.. semua perwakilan bagi sokongan kepada presiden. Nak jadi presiden kena tegas. Kita tak mahu ada anai-anai dalam UMNO kerana boleh runtuhkan parti.

Sementara itu, pembahas dari Johor, Datuk Mohd Jafni Md. Shukor mendesak Perdana Menteri membubarkan Dewan Rakyat untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU).

Ujar beliau, Tun Dr. Mahathir Mohamad ternyata gagal memikul tanggungjawab itu menyebabkan rakyat hidup dalam kesempitan dan kesengsaraan.

“Selama 18 bulan memerintah, berjuta rakyat hidup sengsara,” katanya.

UTAMAPOLITIK#PAU2019: Jangan ada anai-anai, desperado dalam UMNO

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium