30.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 29, 2020

Pegawai PTD mati lemas ketika jalani latihan

Aldy Hasmi Abu Hassan

Seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Kementerian Pertahanan mati lemas semasa menjalani latihan di Kem Wataniah Force 136, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahya Othman berkata mangsa, Aldy Hasmi Abu Hassan, 35, disahkan meninggal dunia kira-kira 3 petang di Hospital Pekan.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 2.30 petang ketika mangsa dan 243 pegawai yang lain sedang menjalani latihan menyeberangi sungai di sebatang tali air berdekatan Sungai Miang, dekat sini.

“Tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam air dan jurulatih kemudian menarik mangsa dari dalam air ke darat lalu terus memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum menghantar mangsa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas,” katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Yahya berkata Allahyarham Aldy Hasmi dan peserta kursus yang lain sedang mengikuti latihan di kem tersebut dari 3 hingga 28 Sept ini.

Difahamkan mangsa, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, sedang mengikuti Diploma Pentadbiran Awam di bawah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

“Mangsa juga telah menjalani ujian perubatan sebelum menjalani latihan tersebut,” katanya.

Beliau turut dimaklumkan jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Jalan Sultanah, Alor Setar malam ini juga untuk urusan pengebumian.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali, berkata dia sempat menyaksikan saat Allahyarham Aldy Hasmi terjatuh ke dalam air ketika latihan itu diadakan.

“Ketika dia jatuh, jurulatih memanggilnya tetapi dia tidak menyahut dan dengan segera jurulatih menariknya naik ke darat, tetapi mendapati mulut Aldy Hasmi sudah berbuih,” katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Intan menghentikan serta-merta aktiviti lasak melibatkan kursus Diploma Pengurusan Awam bagi bakal Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) serta kursus lain bagi pegawai-pegawai tidak beruniform.

Ini, katanya berikutan insiden kematian Aldy Hasmi ketika sedang menjalani latihan wataniah di Pekan, Pahang.

Beliau juga mengarahkan JPA dan Intan supaya menyiasat serta mengemukakan laporan berhubung kejadian itu.

“Bagi pihak seluruh Perkhidmatan Awam, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” kata Ali melalui laman Facebooknya.

Berita Berkaitan

Isu peralihan Kerajaan Pusat? Istana Negara akan keluar kenyataan rasmi petang ini

Istana Negara dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi petang ini. Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan...

Jika Saya Menang, Anwar Mungkin Hilang Kerusi PD – Mohd Khairul

Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sekali pun, tempohnya tidak lama kerana...

Komen

..

#PRNSabah: Perjanjian Malaysia MA63 mendapat perhatian penuh Najib Razak

Perjanjian Malaysia MA63 hanya mendapat perhatian penuh kerajaan BN dahulu semasa saya PM. Di zaman sebelum itu, Tun Mahathir akan penjarakan sesiapa yang membangkitkan isu...

Arkib / Carian

993PeminatSuka
4,100PengikutMengikut
3,346PengikutMengikut
11,000PelangganLanggan