Kes SRC: Pegawai SPRM mengesahkan Arab Saudi, Putera Faisal masuk RM642 juta dalam akaun Najib

(Bernama) – Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan terdapat kemasukan dana sebanyak RM642 juta daripada Kementerian Kewangan Riyadh (Arab Saudi) dan Putera Faisal Turki ke dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Rosli Husain, 54, berkata, dana berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bekas perdana menteri itu yang bernombor akhir 694.

Rosli berkata, demikian ketika disoal peguam Harvinderjit Singh pada hari ke-56 perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Dalam siasatan kamu, adakah kamu juga menyiasat akaun di atas nama Datuk Seri Najib berakhir nombor 694?

Rosli: Ya, ada

Harvinderjit: Adakah kamu boleh mengesahkan dalam akaun itu ada kemasukan duit daripada Prince Faisal bin Turki?

Rosli: Ada

Harvinderjit: Jumlahya lebih kurang RM399 juta?

Rosli:Ya, lebih kurang.

Harvinderjit: Ada kemasukan duit dari Kementerian Kewangan Riyadh (Arab Saudi) sebanyak RM243 juta?

Rosli: Ada

Ketika ditanya mengenai undang-undang yang diguna pakai SPRM, supaya AmBank menyemak dengan suruhanjaya itu terdahulu sebelum membenarkan Najib mengakses dokumen banknya, saksi berkata beliau tidak merujuk pada mana-mana undang-undang tetapi menggunakan inisiatif sendiri untuk memberitahu AmBank supaya merujuk kepada SPRM sebelum membenarkan Najib mendapatkan dokumen bank.

Harvinderjit: Saya mencadangkan, kamu mengarahkan bank supaya tidak memberi dokumen kepada pembelaan supaya pembelaan tidak dapat meneruskan kes dan Rosli menjawab: “Tidak sama sekali, Yang Arif.”

Saksi itu juga berkata, beliau tidak tahu nama penuh pegawai penyiasat SPRM yang mengendalikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Seingat saya namanya ialah Aidah, penguat kuasa kanan… tetapi saya tak tahu nama penuhnya,” katanya.

Harvinderjit: Bukankah Aidah rakan sekerja kamu?

“Ya, Aidah rakan sekerja saya. Tapi dia bukan isteri saya, jadi saya tak pasti nama penuh beliau,” katanya, yang mencetuskan gelak ketawa orang ramai dalam mahkamah.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

https://pakdin.my/tag/src-international