25.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, January 17, 2021

Pelarasan Gaji Libatkan Peruntukan Tambahan RM6 Bilion

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelarasan gaji berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diumumkannya semalam berikutan pemansuhan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) melibatkan peruntukan tambahan RM6 bilion.

Perdana Menteri berkata peruntukan tambahan itu disediakan kerana kerajaan mahukan lebih ramai penjawat awam menikmati pelarasan gaji maksimum terutama golongan dalam kategori kumpulan pelaksana ataupun sokongan.

“Kali ini kita nak ramai yang menikmati pelarasan gaji maksimum sehingga 13 peratus, jadi kita naikkan sampai kepada Gred 54. Dengan ini kita terpaksa cari peruntukan tambahan yang kesemuanya lebih RM6 bilion tetapi jumlah sebenar kita sedang tentukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Taman Molek di sini Jumaat. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya peruntukan tambahan itu juga termasuk peruntukan untuk kenaikan elaun Bantuan Sara Hidup (COLA).

Perdana Menteri sementara itu menyangkal dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya tindakan kerajaan mengumumkan pemansuhan SBPA semalam adalah ekoran desakan pembangkang .

“Merujuk ucapan perbelanjaan Bajet 2012 yang saya bentangkan Oktober tahun lalu, saya bagi komitmen bahawa penjawat awam akan terima pelarasan gaji 7 hingga 13 peratus.

“Tetapi apabila SBPA digubal, ia tergelincir daripada tafsiran yang telah saya umumkan, sebab itu kerajaan ambil keputusan untuk kembali semula terhadap komitmen yang telah saya berikan Oktober tahun lepas.

“Ini tidak ada kena mengena dengan apa yang didakwa oleh pembangkang. Dia ni (Anwar) biasalah “lembu punya susu, dia mahu nama”. Dah kerja pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, pembatalan SBPA itu juga tiada kaitan dengan pilihan raya umum ke-13 akan datang sebaliknya lebih kepada soal mengotakan janji yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini dalam Belanjawan 2012.

Perdana Menteri semalam mengumumkan SBPA yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Jan 2012 dibatalkan dan mengekalkan SSM yang ditambah baik.

Beliau juga mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54, bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A (9 peratus), Gred Turus 3 dan 2 (8 peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (7 peratus) selain kenaikan COLA.

Sementara itu, Najib melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan pemerintahan di Johor dalam pilihan raya umum akan datang.

“Johor jelas bahawa nampak rakyat ceria, jadi rasanya masih lagi sebuah negeri yang terasnya BN. Kita boleh rasa,” katanya.

Beliau mahu kerajaan negeri meneruskan hubungan positif dengan semua lapisan masyarakat di negeri ini dengan cara berhemah dan rendah diri supaya rakyat terus menyokong BN.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.