Pelbagai Pihak Bersimpati Dan Sampaikan Ucapan Takziah Kepada Keluarga Noramfaizul - pakdin.my

Noramfaizul Mohd. Nor

Pelbagai pihak menyatakan simpati dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama TV, yang terkorban akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara yang menelefon keluarga Noramfaizul pada pukul 11.22 pagi untuk mengucapkan takziah kepada bapa Noramfaizul, Mohd Nor Mat Yassin.

Dr Mahathir, yang juga Presiden Perdana Global Peace Foundation meluangkan masa kira-kira dua minit bercakap dengan Mohd Nor.

Sementara itu, Naib Presiden MCA Senator Gan Ping Sieu berkata Malaysia telah kehilangan seorang petugas media yang berani yang bersedia menanggung segala risiko membuat liputan tentang usaha kemanusiaan Malaysia di sebuah negara yang bergolak.

“Wartawan perang memberi ingatan kepada kita semua betapa manusia menjadi pemusnah apabila digerakkan ingin berkuasa, menjadi tamak dan bersikap bermusuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

“Keganasan melahirkan permusuhan seterusnya dan perpecahan yang tidak berkesudahan. Badan antarabangsa mesti bertindak cepat mencari penyelesaian aman terhadap konflik di sana dan mengakhiri kesangsaraan di negara berkenaan,’ tambah kenyataan itu.

Gan mengucapkan takziah kepada keluarga Noramfaizul, dan sangat menghormati wartawan TV3 Aji Siregar Mazlan yang tercedera dalam serangan berkenaan dan juga wartawan Malaysia lain yang turut membuat liputan tentang misi kemanusiaan tersebut.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam pada itu berharap kejadian itu tidak akan mematahkan semangat sukarelawan dari Malaysia dan seluruh dunia untuk terus membantu mereka yang ditimpa bencana.

Kejadian tembak curi seumpama itu tidak seharusnya berlaku terutama sekali terhadap konvoi misi kemanusiaan, misi bantuan, misi sukarela yang hanya bertujuan membantu rakyat negara tersebut, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, berkata kementerian itu dan dunia sukan Malaysia akan merasai kehilangan Allahyarham yang sering membuat liputan berita sukan.

Di Tanjong Karang, Selangor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, turut melahirkan rasa sedih berhubung kejadian itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Di Jasin, Melaka pula, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berharap keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan yang sedang dilalui.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di sini melahirkan rasa simpati dan kesedihan kepada keluarga Noramfaizul, dan mendoakan roh Allahyarham bersemadi dengan aman.

Setiausaha Agung Malaysian Relief Agency (MRA) Dr Mohd Daud Sulaiman turut menyampaikan ucapan takziah dan menyifatkan keadaan keselamatan yang tidak menentu di Somalia memang sentiasa membimbangkan sukarelawan dan pekerja agensi bantuan, selain membantutkan usaha bantuan kemanusiaan di sana.

Beliau berkata misi 1 MRA diketuai Sahrulazilan Mohd Said masih berada di Galkaiyo, sebuah bandar di utara Mogadishu, dan masih terus mengagihkan bantuan air bersih di kem-kem pelarian di Bosaso, Garowe dan Galkaiyo seperti yang dirancangkan.

Dr Mohd Daud berkata, sebuah pusat operasi bantuan telah diwujudkan di Galkaiyo untuk menyelaras segala bantuan yang disampaikan oleh rakyat Malaysia melalui jalan darat dari Bosaso, sebuah bandar pelabuhan di utara Somalia.

Katanya, MRA sentiasa memantau usaha bantuan kemanusiaan dan bersedia memanggil pulang pasukan bantuan ke tanah air jika keadaan keselamatan di lapangan tidak menentu.

UTAMABERITAPelbagai Pihak Bersimpati Dan Sampaikan Ucapan Takziah Kepada Keluarga Noramfaizul

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium