Peluang calon PAS dilantik Menteri Besar lebih cerah #pakdin.my

Iskandar Samad

Pasti beberapa hari mendatang antara topik perbincangan khususnya di Selangor adalah teka teki siapakah bakal menteri besar yang akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tentu pelbagai spekulasi selepas Istana Selangor mengesahkan majlis mengangkat sumpah jawatan menteri besar akan diadakan pagi Selasa depan di Istana Alam Shah, Klang.
Tumpuan pasti kepada nama-nama yang sudah dihantar PKR,PAS dan DAP kepada Sultan Selangor seperti titah baginda sebelum ini.

PKR dan DAP hanya menghantar nama Adun Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail walaupun Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) menghantar lebih dua nama.

Hanya PAS berbuat demikian dengan menghantar sekurang-kurangnya lima nama Adun mewakili parti itu dan PKR.

Ini berdasarkan dua laporan sebelum ini bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan menghantar tiga nama Adun PAS Selangor kepada pihak istana.

Nama yang disebut-sebut adalah Adun Chempaka Iskandar Abdul Samad, Adun Sijangkang Ahmad Yunus Hairi dan Adun Sabak Sallehen Mukhyi.

Ketiga-tiga mereka adalah Exco kerajaan negeri manakala Iskandar pula adalah Pesuruhjaya PAS Selangor.

Satu lagi laporan menyatakan PAS turut menghantar nama Iskandar bersama dua Adun PKR Dr Idris Ahmad (Ijok) dan Yaakob Sapari (Kota Anggerik).

Selepas tarikh 3 September yang ditetapkan istana bagi menghantar nama-nama calon Menteri Besar, tidak diketahui sama ada PKR ada menghantar nama lain bagi mematuhi titah Tuanku.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan istana Selangor baru-baru ini, Sultan Sharafuddin juga akan menilai calon-calon lain dikalangan Adun Pakatan Rakyat yang difikirkan layak selain dari nama-nama yang dicadangkan ketiga-tiga parti.

Justeru itu, timbul kemungkinan baginda akan memilih Adun Bukit Antarabangsa Mohamad Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR.

Portal pro pembangkang mula memainkan nama Azmin daqn tidak lagi menyebut nama Wan Azizah yang juga Presiden PKR walaupun beliau diangkat sebagai calon tunggal parti itu dengan sokongan DAP.

Bagi mengelak tuduhan berpolitik, pelantikan Azmin boleh dianggap dapat menyelesaikan kemelut antara PKR dan PAS berhubung isu tersebut.

PAS sebelum ini pun bersetuju Azmin dicalonkan sebagai Menteri Besar selain nama Wan Azizah.

Cuma tidak diketahui apakah DAP akan bersetuju dengan pemilihan Azmin begitu juga dengan mereka yang sebelum ini menandatangani akuan bersumpah (SD) hanya menyokong pencalonan Wan Azizah.

Persoalan kini siapakah yang akan menggantikan Khalid?

Adakah mereka Adun mewakili PKR atau PAS?

Bagaimanapun, jika kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapa Ali diambil kira, ada kemungkinan calon menteri besar yang akan mengangkat sumpah pada Selasa adalah Adun PAS.

Mustapa dalam reaksinya Khamis meminta semua pihak mematuhi keputusan Sultan Selangor.

Mustafa berkata PAS pusat memutuskan bahawa jawatan tersebut adalah kerusi yang di berikan kepada rakan sekutunya, PKR.
Namun, katanya semua harus akur dengan pilihan Sultan Selangor.

Cuma Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan bahawa PAS berpegang kepada kenyataan bersama Pakatan Rakyat sebelum ini bahawa jawatan itu adalah milik PKR dan PAS akan menolak jika ditawarkan mengisi kerusi tersebut.

Apapun, nama calon menteri besar itu mungkin hanya akan diketahui paling awal pada Isnin sekiranya pengumuman rasmi dibuat oleh pihak istana.

Sehingga itu, semua orang bebas membuat spekulasi meneka siapa calonnya dengan nama Wan Azizah kini sudah hampir terkeluar daripada senarai.

Bagaimanapun, berdasarkan senario semasa, peluang calon PAS dilantik menteri besar lebih cerah.

Pilihannya antara Iskandar yang bukan kelahiran Selangor atau Ahmad Yunus anak jati negeri itu.

Berkaitan