Pemandu lori di bawah pengaruh dadah dituduh di mahkamah esok #pakdin.my

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki yang didakwa memandu lori di bawah pengaruh dadah sehingga mengakibatkan kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kemalangan pada Jumaat lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini pada esok.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 2 pagi di Kilometer 79.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara itu, mangsa, Koperal Muhamad Aziem Azman, 34, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Isteri mangsa yang merupakan seorang guru berusia 34 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan dan kaki manakala anak mereka berusia empat tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 40 tahun direman selama empat hari bermula 24 Disember lalu.

“Ujian saringan awal urin yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -K! ONLINE

Berkaitan