29.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 29, 2020

Pemandu Teksi Jatuh Gaung: ‘2 lelaki’ hanya berlalu pergi

pemandu-teksi-jatuh-gaung-3hari

“Saya nampak dua lelaki melintasi lokasi teksi saya terjunam seolah-olah mencari sesuatu. Bagaimanapun, mereka tidak mendengar jeritan serta seolah-olah tidak nampak kesan gelongsoran teksi sebelum kedua-duanya berlalu pergi begitu saja,” kata Johar Kassim, 68, pemandu teksi yang ditemui selamat kelmarin selepas dua hari terperangkap di dalam gaung di Taman Seri Kluang di sini.

Dalam kejadian Selasa lalu, kehilangan Johar disedari ahli keluarga selepas dia didapati tidak pulang ke rumah isteri keduanya pada petang berkenaan. Usaha menjejak mangsa terus dijalankan ahli keluarga dengan bantuan Persatuan Pemandu Teksi Daerah Kluang.

Ketika ditemui di wad Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang semalam, Johar kelihatan semakin pulih selepas menerima rawatan.

Menurut Johar, kejadian terbabit berlaku jam 7 malam, Rabu lalu iaitu pada hari kedua dia terperangkap di dalam gaung berkenaan.

“Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, teksi terjunam ke dalam gaung apabila saya mengelak lori datang dari bandar Kluang. Bagaimanapun, tiada siapa perasan berikutan hujan lebat.

teksi-jatuh-gaung-pemandu-dijumpai-selepas-3hari 3

“Teksi pula berada dalam keadaan menegak ketika terjunam. Ia menyebabkan saya perlu keluar mencari perlindungan, saya jadikan pokok rimbun di kawasan berkenaan sebagai tempat berteduh,” katanya.

Menurut bapa kepada enam anak itu, sepanjang terperangkap di dalam gaung, dia hanya tidur ayam kerana bimbang didatangi haiwan buas serta binatang berbisa.

Katanya, dia tidak boleh naik ke tebing kerana kaki kirinya tidak dapat digerakkan.

“Pada masa sama, keadaan gaung curam. Selepas keluar daripada teksi, saya tidak putus berdoa supaya ada orang datang menyelamatkan saya. Pada masa sama, saya turut menjerit meminta tolong serta melaungkan azan hampir setiap setengah jam.

“Saya terkejut dengan kehadiran dua lelaki berkenaan namun hairan kerana mereka seolah-oleh tidak mendengar jeritan saya. Sehingga kini, siapa sebenarnya mereka masih menjadi tanda tanya,” katanya.

Menurut Johar, dia turut menggunakan latihan yang diperoleh ketika bertugas dengan tentera darat untuk terus bertahan dengan meminum air lopak dan memakan pucuk kayu muda yang ada di situ.

“Tiada kata-kata boleh diungkapkan apabila melihat sepasukan anggota bomba dan penyelamat datang membantu mengeluarkan saya dari dalam gaung.

“Saya sangka hayat akan berakhir di sini. Syukur kerana semuanya berakhir dengan baik,” katanya yang turut menghidap darah tinggi dan kencing manis.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Daerah Kluang Mustakim Jahlel berkata, sebaik menyedari kehilangan Johar, pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk membantu mengesan warga emas berkenaan.

“Berpandukan maklumat diperoleh daripada ahli keluarga Johar, kami memfokuskan kawasan pencarian di lokasi dia dilaporkan hilang pada hari kedua sebelum menemuinya jam 4 petang semalam (kelmarin).

“Teksi Johar ditemui ahli persatuan, Yaakub Abd Kadir yang berusia 60 tahun selepas dia terlihat kesan tayar menuju ke arah gaung berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Yaakub berkata, dia beberapa kali melalui lokasi berkenaan sepanjang usaha menjejak Johar namun tidak menemui sebarang tanda sebelum tergerak untuk berhenti dan meninjau ke dalam gaung.

“Ketika berhenti, hati saya kuat menyatakan Johar berada di situ dan apabila meninjau lebih teliti, saya nampak kesan tayar menggelongsor ke arah gaung sebelum menemui teksi Johar.

“Saya dapati Johar tidak mampu bergerak dan terus menghubungi Bomba dan Penyelamat Kluang untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Berita Berkaitan

Isu peralihan Kerajaan Pusat? Istana Negara akan keluar kenyataan rasmi petang ini

Istana Negara dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi petang ini. Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan...

#PRNSabah: Perjanjian Malaysia MA63 mendapat perhatian penuh Najib Razak

Perjanjian Malaysia MA63 hanya mendapat perhatian penuh kerajaan BN dahulu semasa saya PM. Di zaman...

Komen

..

BERSATU Mungkir Janji, Bung ‘Mengamuk’ Di Hadapan Hajiji

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dikatakan mengamuk di hadapan Ketua Menteri Sabah yang baharu, Datuk Seri Hajiji Noor...

#PRNSabah: Perjanjian Malaysia MA63 mendapat perhatian penuh Najib Razak

Perjanjian Malaysia MA63 hanya mendapat perhatian penuh kerajaan BN dahulu semasa saya PM. Di zaman sebelum itu, Tun Mahathir akan penjarakan sesiapa yang membangkitkan isu...

Arkib / Carian

993PeminatSuka
4,100PengikutMengikut
3,347PengikutMengikut
11,000PelangganLanggan