PRN Melaka: Pembangunan di Melaka terabai sejak PH tadbir – Roslan Ahmad #pakdin.my

JASIN – Pakatan Harapan (PH) ternyata tidak peka dengan pembangunan di Melaka meskipun ketika mereka mentadbir negeri ini selama 22 bulan, kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad.

Katanya ini kerana di kawasan beliau sendiri PH mengabaikan beberapa projek besar yang telah diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) antaranya pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Sebelum 2017 kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan untuk pembinaan malahan ada lawatan tapak sebelum bubar Parlimen.

“Malangnya apabila PH ambil alih kerajaan negeri dan pusat yang menyedihkan mereka tidak laksanakan sekolah ini sedangkan duitnya telah pun ada,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang juga bekas Exco Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur berkata selain itu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Merlimau yang berjumlah RM36 juta juga telah diluluskan pada 2017 malah kerja-kerja awal telah berjalan namun malangnya selepas PH tadbir pelaksanaannya tidak dapat diteruskan.

“Maknanya dari segi pengurusan dan pentadbiran merka amat lemah… memimpin dengan kekurangan pengalaman dan pendedahan cara hendak mengolah dan sebagainya sedangkan duit sudah ada tapi hendak laksanakan tak mampu.

“Jadi inilah yang kita boleh belajar supaya dalam membuat pertimbangan kepada 20 Nov kena ambil kira tentang kecekapan pentadbiran dan pengurusan,” ujar beliau.

Jelas Roslan lagi, hendak melakukan urus tadbir sesebuah negeri bukan hanya bersandarkan kepada ideologi semata kerana dari segi pelaksanaan dan juga gerak kerja amat penting untuk menterjemahkan pembangunan.

“BN sudah 60 tahun perintah sebelum ini jadi kita tahu bagaimana hendak mengolah satu peruntukan yang sudah sampai mengikut jadual.

“Sebab itu sejak kita ambil alih walaupun hanya 19 bulan banyak projek-projek besar di bawah pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Saya sejak itu menggerakkan projek SKJT untuk dilaksanakan. Alhamdulillah selepas dua bulan kita sudah buat pecah tanah itu hasil BN sebelum ini. RTB Melaka pula selewat-lewatnya akan dilaksanakan Januari tahun hadapan tinggal hendak siapkan dokumentasi terakhir untuk dibina,” ujar beliau.

Berkaitan