Pemilihan UMNO guna sistem ‘electoral vote’ - pakdin.my

Peserta mendaftar sebelum menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian pada Simulasi Pemilihan UMNO 2013 di ILMU, di Janda Baik
Peserta mendaftar sebelum menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian pada Simulasi Pemilihan UMNO 2013 di ILMU, di Janda Baik

Parti laksana transformasi politik untuk kelangsungan perjuangan

Bentong: UMNO kini sudah bersedia melaksanakan transformasi politik, menerusi pemilihan mengikut kaedah baru bagi menentukan kepemimpinan, sekali gus memastikan kelangsungan parti keramat itu pada masa depan.

Ia terbukti dengan kelancaran simulasi pemilihan UMNO 2013 yang berlangsung di Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU) di Janda Baik di sini, kelmarin.

Kira-kira 1,500 ahli termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bahagian dan Setiausaha, berkampung di ILMU selama dua hari sejak Jumaat, bagi menambah baik sistem pemilihan baru itu.

146,500 perwakilan

Kaedah pemilihan menggunakan sistem pilihan raya di Amerika Syarikat atau dipanggil ‘electoral vote’ itu membenarkan kira-kira 146,500 perwakilan mengundi, berbanding hanya 2,500 pada pemilihan parti sebelum ini.

Kertas undi yang disediakan mempunyai tujuh ciri keselamatan, termasuk ultra ungu dan perwakilan akan memilih 33,682 calon yang menawarkan diri untuk bertanding di peringkat Majlis Tertinggi, bahagian dan sayap parti.

Jumlah akhir calon yang boleh bertanding, akan dimuktamadkan pada 7 Oktober ini selepas melalui tapisan.

Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) melaksanakan simulasi dengan mengambil contoh Bahagian Baling, Kedah, yang mempunyai 60 cawangan membabitkan lebih 2,000 perwakilan iaitu teramai di Semenanjung.

Menerusi simulasi itu, perjalanan proses demokrasi bermula seawal jam 8 pagi, apabila seramai 626 perwakilan mula mendaftar bagi memulakan mesyuarat bahagian, seterusnya mengundi.

Warna kertas undi berbeza

Simulasi itu menggambarkan pemilihan UMNO peringkat MT dan bahagian, yang bakal berlangsung pada 19 Oktober ini.

Bagi melicinkan proses pengundian setiap kertas pencalonan berbeza warna mengikut kategori.

Contohnya, bagi jawatan Pengerusi Tetap UMNO bahagian kertas undi berwarna ungu, Timbalannya (coklat), Ketua Bahagian (jingga) dan Timbalan (biru).

Hasil pemantauan BH, secara puratanya, proses pengundian setiap perwakilan mengambil masa antara empat hingga 10 minit, bermula dari pendaftaran sehingga kertas undi dimasukkan ke dalam peti lutsinar yang diselia urusetia.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh, berkata simulasi itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar perjalanan mesyuarat dan pemilihan MT dan bahagian, bermula dengan mesyuarat, pengundian dan pengiraan undi.

“Simulasi ini juga bagi memberi panduan kepada ibu pejabat untuk menambah baik sistem demi melicinkan perjalanan pengundian pada 12 dan 19 Oktober ini.

“Setiap kritikan dan cadangan, kita terima dengan hati terbuka yang akan dibincangkan ketika bedah siasat,” katanya pada sesi penerangan simulasi.

Rauf berkata, UMNO sedang melakar sejarah ke arah transformasi politik yang diilhamkan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak, supaya menjadi penanda aras kualiti pemilihan parti lain.

UTAMAPOLITIKPemilihan UMNO guna sistem 'electoral vote'

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium