Pemilikan asing tak selesai masalah lambakan rumah

Seolah-olah cuba membantu pemaju perumahan yang seawalnya tamak

Tindakan kerajaan mahu menurunkan nilai ambang kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar kepada RM600,000 pada tahun depan untuk tujuan pemilikan asing bukan satu langkah yang akan menyelesaikan lambakan rumah tidak terjual.

Penganalisis Ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, tindakan itu sebaliknya dilihat seolah-olah cuba membantu pemaju perumahan yang seawalnya tamak dalam membina perumahan mewah kerana margin keuntungan besar tanpa memikirkan hasrat sebenar rakyat untuk mempunyai rumah mampu dimiliki.

Menurutnya, untuk kesan jangka masa panjang, pemaju perumahan akan lebih berani untuk hanya membina perumahan berharga RM600,000 ke atas kerana mereka kini boleh menjualnya kepada rakyat asing tanpa batasan.

“Akibatnya akan wujud banyak rumah yang kosong di bandar tetapi dimiliki warga asing dan rakyat hanya mampu menghuni rumah tersebut dengan menyewa sahaja.

“Hasil sewaan pula akan pergi ke luar negara iaitu kepada pemilik warga asing tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, menerusi pembentangan Belanjawan 2020 pada Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing.

Katanya, jika pendekatan itu diteruskan kerajaan, isu rakyat tidak mampu memiliki rumah tidak akan selesai dan harga rumah akan kekal tinggi.

Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, terdapat kaedah lain yang boleh dilakukan iaitu dengan mengekalkan nilai ambang pada RM1 juta atau lebih tinggi dari itu sehingga pemaju tidak ada pilihan lain.

Katanya, pemaju terpaksa menjual rumah-rumah yang tidak terjual kepada agensi perumahan kerajaan atau pihak swasta seperti koperasi secara pukal dengan harga yang lebih rendah.

“Agensi perumahan kerajaan atau koperasi boleh menjual kepada rakyat menggunakan konsep musyarakah mutanaqisah iaitu pembeli membayar 10 peratus harga rumah dan setiap bulan membayar harga sewaan dan juga harga pembelian.

“Lama kelamaan peratusan pemilikan akan meningkat dan pembeli akhirnya akan memiliki rumah tersebut,” katanya.

Menurutnya, melalui kaedah itu rakyat tidak perlu mendapatkan pembiayaan bank yang mengenakan kadar faedah tinggi dan ia juga dapat mengelakkan para spekulator hartanah mencari kesempatan.

Loading...