Pemimpin kanan PPBM guna taktik kotor untuk menang jawatan bahagian? - pakdin.my

Seorang pemimpin kanan PPBM didakwa menyalahgunakan kuasa apabila dituduh menggunakan jentera kerajaan dan membeli undi dengan menawarkan wang kepada ahli bagi memenangi jawatan di peringkat bahagian.

Pendedahan itu dibuat seorang lagi calon lawan kepada pemimpin kanan terbabit yang bertanding di Selangor.

“Memang benar-benar berlaku (pemimpin kanan itu) menggunakan jentera Kemas dan kerajaan dan memberi manisan kepada pengundi (ahli parti).

“Malah lebih teruk lagi bagi duit dan masa hari mengundi, mana-mana ahli ambil gambar kertas undi dan jumpa mereka untuk dapatkan duit pokok lagi, memang mainan kotor sudah berlaku,” katanya sambil mendakwa jumlah wang yang diberikan tidak kurang RM50 seorang.

Katanya, pendedahan itu dibuat bukan merasakan kedudukan sebagai lawan tergugat, sebaliknya mahu pemilihan PPBM dilakukan secara telus dan bersih.

“Kalah menang itu adat bertanding.

“Dulu kita lawan parti yang kita tuduh main kotor, main duit, sekarang parti kita lakukan benda sama.

“Jadi apa beza kita dengan mereka, adakah kita mahu parti kita dihukum oleh rakyat dahulu baru kita nak insaf,” kata calon tersebut yang mendakwa aktiviti kotor itu digerakkan jentera kempen pemimpin terbabit.

Beliau juga akan mengadu perkara tersebut kepada jawatankuasa pemilihan parti dalam masa terdekat.

“Saya ada bukti cukup, bagaimana jentera calon pemimpin kanan itu main kotor.

“Pihak kami tidak akan teragak-agak untuk melaporkan perkara ini kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) hari ini juga.

“Kita akan meminta tindakan diambil sebelum pemilihan,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli parti akar umbi PPBM turut meluahkan rasa kecewa di media sosial mengatakan tindakan pemimpin berkenaan sebagai terdesak.

“Inilah puak-puak yang merosakkan sendiri bangsa tapi dalam masa yang sama konon perjuangkan bangsa, orang macam inilah kita sebagai akar umbi yang punya akal dan fikiran yang waras harus tolak dan benamkan mereka dalam pemilihan kali ini supaya puak-puak ini tidak berakar umbi dan terus pupuskan supaya parti lebih bermaruah.

“Tolaklah calon yang telah memberi sejumlah wang dan mengarahkan supaya kertas undi diambil gambar dan akan dapat pulak duit pokok dalam jumlah yang tidak di ketahui,” katanya yang menggunakan akaun Facebook dengan nama Herry Kokor sambil meminta ahli lain berani membuat aduan kepada parti jika terdapat gerakan sedemikian di kawasan lain.

Pemilihan bahagian itu mempunyai ahli lebih 500 orang yang layak mengundi esok.

FMT sedang mendapatkan pemimpin kanan terbabit, termasuk jawatankuasa pemilihan parti untuk ulasan lanjut.

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pemilihannya, Syed Hamid Albar mengumumkan, majoriti pemimpin kanan PPBM menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian parti itu.

Katanya, 39 daripada 189 ketua bahagian menang tanpa bertanding dalam pemilihan pertama PPBM, termasuk Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Presiden, Muhyiddin Yassin (Pagoh), Timbalan Presiden, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Setiausaha Agung, Marzuki Yahya (Bagan), Setiausaha Kerja, Suhaimi Yahya (Batu), Ketua Penerangan, Radzi Jidin (Ketereh), Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Ketua PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu (Tambun), Ketua PPBM Terengganu, Razali Idris (Marang) dan Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor (Tuaran).

Beliau berkata, 45 ketua bahagian Wanita dan 63 ketua bahagian Pemuda turut menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun beberapa pemimpin kanan PPBM tidak diumumkan sebagai pemenang sebelum pemilihan bermula, secara automatik perlu bertanding dan mempunyai lawan.

Antara pimpinan kanan PPBM yang ditentang di peringkat bahagian, Ketua Wanita PPBM Rina Harun yang merebut jawatan ketua Wanita bahagian, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Redzuan Yusof yang merebut jawatan ketua bahagian apabila ditentang Mas Ermieyati Samsudin bagi kawasan Masjid Tanah dan beberapa lagi pemimpin.

Pemilihan PPBM peringkat cawangan bermula 15 Feb hingga 28 Mac ini, bahagian mulai 18 April dan Perhimpunan Agung pada 25 hingga 28 Jun nanti.

UTAMAPOLITIKPemimpin kanan PPBM guna taktik kotor untuk menang jawatan bahagian?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium