Pemuda UMNO tak henti jadi penyambung lidah rakyat untuk teruskan kehidupan – Dr Asyraf #pakdin.my

Pergerakan Pemuda UMNO tidak pernah berhenti daripada menjadi penyambung lidah rakyat dan akan terus memperjuangkan isu-isu rakyat terutamanya yang susah, resah dan terdesak untuk memenuhi keperluan dan meneruskan kelangsungan hidup.

Demikian tegas ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan menerusi laman facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung isu suara majoriti rakyat yang masih mengharapkan pengeluaran i-Citra KWSP.

“Dulu waktu Pemuda UMNO bersama Datuk Seri Najib Razak bersuara dan memperjuangkan agenda yang sama, alasan serupa juga diberikan Menteri Kewangan waktu itu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan memberikan statistik hampir sama bahawa 46% tidak punya simpanan melebihi RM10k dan menjejaskan simpanan hari tua rakyat. Namun selepas desakan berterusan akhirnya kerajaan akur jua dengan menawarkan i-Sinar dan i-Lestari.

“Kali ini masih Menteri Kewangan sama iaitu Tengku Zafrul walaupun nakhoda kerajaan sudah bertukar.

“Cuma kali ini bagi Pemuda UMNO, penuhilah permintaan lebih 56% rakyat yang masih punya simpanan melebihi RM10k terutamanya dikalangan M40 ke atas untuk mereka memulakan kehidupan baharu pasca pandamik dengan pelbagai komitmen tertunggak yang perlu dilangsaikan.”

Ujarnya, ini boleh menjadi kebenaran pengeluaran KWSP kali terakhir memandangkan ekonomi sudah dibuka dan pandemik makin beransur pulih untuk memasuki fasa endemik.

“Kerajaan melalui KWSP boleh mencadangkan pula pendekatan terbaik untuk menampung kembali pengeluaran besar simpanan hari tua rakyat dengan pelbagai inisiatif pelaburan dan penambahan komitmen caruman tatkala ekonomi kembali pulih kelak,” katanya.

Terdahulu beliau juga mengharapkan agar mantan Perdana Menteri akan dapat
bawakan suara majoriti rakyat yang masih mengharapkan pengeluaran i-Citra KWSP dalam Ucapan Perbahasan Bajet 2022 petang ini.

Bajet 2022 yang dibentang Menteri Kewangan pada Jumaat lalu dan mula dibahas oleh Ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. – UMNO Online

Berkaitan