Penceramah bebas maut dalam kemalangan #pakdin.my

penceramah-bebas-maut-kemalangan-lpt-2

DUNGUN 5 Julai – Seorang pence­ramah bebas maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 352.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2, berdekatan Bukit Besi, hari ini.

Difahamkan, mangsa, Mohd. Nor Shauqi A. Rahman, 29, yang memandu kereta jenis Honda City terbabas di laluan lurus lebuh raya itu sebelum merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri kira-kira pukul 10.30 pagi.

Ketika kejadian, mangsa bersama isterinya, Siti Maryuni Mansor, 27, dan anak mereka, Safiyah Maisarah, 2, dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke rumah mereka di Batu Buruk, Kuala Terengganu selepas selesai menyampaikan ceramah agama di Kuala Lumpur.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Zailani Yaakub berkata, rempuhan itu mengakibatkan mangsa cedera di kepala dan bahagian dalaman badan sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal kira-kira pukul 1 petang manakala isteri dan anak mangsa pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Isteri mangsa merupakan seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu turut sama mengikuti mangsa kerana cuti Nuzul Al-Quran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berkaitan