#CerobohSabah: Rakyat Malaysia Digesa Bersatu Hadapi Insiden – NGO - pakdin.my

 Anggota Tentera bersiap ke Kampung Tanduo untuk menghadapi penceroboh yang masih berkubu di kampung itu
Anggota Tentera bersiap ke Kampung Tanduo untuk menghadapi penceroboh yang masih berkubu di kampung itu

KUALA LUMPUR  — Seluruh rakyat Malaysia digesa bersatu bagi menghadapi insiden pencerobohan kumpulan bersenjata yang mendakwa diri sebagai tentera diraja Kesultanan Sulu dari Filipina di Lahad Datu, Sabah.

Presiden Pakatan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pro Barisan Nasional, Zulkarnain Mahdar berkata tidak harus ada pihak di negara ini yang mempergunakan insiden itu untuk meraih kepentingan peribadi.

Rakyat Malaysia perlu meletakkan sepenuh kepercayaan dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada anggota keselamatan negara yang menggadai nyawa untuk menyelesaikan insiden itu demi mengekalkan keamanan dan kestabilan di negara ini, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata maut dalam kejadian tembak menembak berlaku selepas hampir tiga minggu kumpulan berkenaan mencerobohi wilayah Malaysia itu.

Zulkarnain yakin pasukan keselamatan negara mampu menangani isu itu dengan sebaik mungkin bagi menjamin keamanan di Sabah.

Beliau, yang mewakili 72 NGO berdaftar di bawah badan itu, berharap umat Islam di negara ini mengadakan solat hajat di setiap masjid dan surau bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan penduduk dan anggota keselamatan di Kampung Tanduo, yang terletak 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.

Zulkarnain berkata rakyat Sabah tidak wajar mempercayai khabar angin melalui laman sosial dan sebagainya yang mengatakan keadaan di Sabah dalam keadaan bahaya.

“Saya juga merayu dan memohon pertolongan pihak pembangkang agar tidak mensensasi keadaan ini demi kepentingan politik mereka dengan menuduh kerajaan Barisan Nasional sengaja melambatkan tindakan ke atas penceroboh ini,” katanya.

Sebuah lagi badan bukan kerajaan, Malaysian Reverted Muslims (MRM) dalam entri laman facebooknya mengecam keras tindakan ahli politik yang cuba mempergunakan isu itu demi meraih sokongan.

“Tatkala nyawa terkorban, ahli politik sibuk berkata bahawa ini adalah konspirasi dan salah(kan) pihak lawan politik mereka…memalukan. Di saat kerabat keluarga yang terkorban bersedih, inikah reaksi ahli politik?,” katanya.

Semalam Anggota Parlimen Batu, Tian Chua dalam kenyataan di portal KeadilanDaily mendakwa insiden tembak-menembak di kampung itu merupakan konspirasi Umno bagi mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Sementara itu, Koordinator Barisan Nasional Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata Tian Chua tidak layak menjadi warganegara Malaysia kerana mempolitikkan isu yang melibatkan keselamatan negara.

“Tian Chua melemparkan tuduhan yang tidak berasas terhadap Umno. Kata-kata ini tidak sepatutnya datang dari seorang anggota Parlimen sebab beliau adalah penggubal undang-undang dan mempunyai kewajipan mempertahankan negara.

“Kalau ikutkan tindakannya, taraf kerakyatan beliau (Tian Chua) perlu dilucutkan,” katanya.

Mohd Zin menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana mempertikaikan usaha kerajaan untuk menangani ancaman terhadap keselamatan rakyat di negara ini.

Di BATU PAHAT, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan sikap Tian Chua sebagai perbuatan biadap dan tidak mempunyai semangat patriotisme.

Mohd Puad, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, berkata kenyataan itu menunjukkan Tian Chua mempunyai moral yang rendah dan tidak bermaruah.

“Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia dan seorang Ahli Parlimen beliau menunjukkan rasa simpati terhadap keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden itu.

“Mereka berkorban nyawa semata-mata untuk mempertahankan tanah air daripada dijajah dan diambil oleh pihak yang menggunakan kekerasan.

“Kenyataannya seperti orang hilang akal dan biadap yang tidak dapat diterima oleh kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita.

“Sebagai manusia, tidak sedih ke semasa tengok televisyen semalam, bila seorang anak kecil memberitahu ayahnya kena bom, ayah ada dalam kubur…saya pun hairan macam mana dia boleh jadi Ahli Parlimen,” katanya.

Mohd Puad turut menyelar kenyataan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuduh kerajaan lambat mengambil tindakan berhubung isu itu.

Di ALOR SETAR, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, Pembangkang sepatutnya mempertahankan negara dalam isu pencerobohan rakyat asing itu.

Mereka tidak wajar memburukkan kerajaan kerana ini boleh menjejas Malaysia sebagai destinasi pelaburan, katanya.

Mukhriz berkata media antarabangsa sudah pasti melaporkan mengenai Malaysia ‘tidak stabil dan aman berikutan insiden ini’.

“Pembangkang tidak perlu keluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab. Bagaimanapun saya tidak terkejut kerana mereka sentiasa mengambil kesempatan dari apa sahaja isu untuk meraih keuntungan politik.

“Tidak hairanlah Pakatan Rakyat mudah menuding jari kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam isu Lahad Datu ini,” kata Mukhriz kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Komuniti Usahawan TEKUN Kedah dan Perlis.

Beliau berkata ia memang strategi ketua pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk mendapat kredit politik dengan membangkitkan isu tersebut kepada dunia luar.

“Saya minta dia (Anwar) memohon maaf dari BN dan rakyat Malaysia kerana mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab,” kata Mukhriz.

Di MELAKA, seorang lagi anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Idris Haron berkata Tian Chua tidak layak digelar rakyat Malaysia dan menggesa seluruh rakyat negara ini agar memulaukan pemimpin pembangkang itu.

Idris yang juga Anggota Parlimen Tangga Batu berkata Tian Chua sebenarnya tidak bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati negara.

Beliau berkata pemimpin pembangkang itu sepatutnya membantu kerajaan termasuk memberikan buah fikiran untuk mengusir pencerobohan tersebut bagi mengekalkan kemerdekaan, kebebasan dan kedaulatan negara.

Di BESUT, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meminta pembangkang tidak memainkan isu pencerobohan di Lahad Datu untuk kepentingan politik murahan hingga boleh merosakkan nama baik negara dan keluarga anggota polis yang terkorban.

“Tian Chua memang seorang yang tidak berhati perut kerana tidak bertanggungjawab membuat tuduhan secara membabi buta tanpa mengetahui masalah sebenarnya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Inspektor Zulkifli Mamat, 30, salah seorang yang terkorban dalam isu serangan di Lahad Datu semalam, di rumah ibu arwah, Khatijah Ismail di Kampung Kubang Ikan dekat sini.

Turut serta, isterinya Toh Puan Seri Norliza Mahmud yang bersama menyampaikan sumbangan peribadi kepada Khatijah.

Selain itu wakil-wakil rakyat tempatan, pegawai-pegawai kanan polis dari Bukit Aman dan negeri termasuk pemimpin pembangkang juga hadir menziarahi keluarga mangsa.

“Saya harap siasatan dijalankan segera oleh pihak keselamatan akan tohmahan oleh Tian Chua,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata satu mesyuarat akan diadakan pada Rabu ini bagi menentukan sumbangan kerajaan negeri kepada keluarga arwah. Jenazah Inspektor Zulkifli Mamat dijangka dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Islam Gong Bayor, Tembila, di sini.

Jenayah itu dijadual tiba dengan penerbangan khas dari Kuala Lumpur di Lapangan terbang TUDM, Gong Kedak, Bukit Puteri, Jerteh, petang ini.

UTAMABERITASABAH#CerobohSabah: Rakyat Malaysia Digesa Bersatu Hadapi Insiden - NGO

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium