30.6 C
Kuala Lumpur
Friday, January 22, 2021

Pendakwaan Guan Eng keadilan setimpal – Khir Toyo

lim-guan-eng-rasuah-ditangkap-sprm

Pendakwaan ke atas Lim Guan Eng membabitkan isu rasuah berhubung pembelian rumahnya disifatkan sebagai keadilan setimpal oleh Dr Mohamad Khir Toyo.

Bekas Menteri Besar Selangor itu turut meminta Ketua Menteri Pulau Pinang itu berhenti membandingkan kes mereka.

Dr Mohamad Khir berkata, kesalahannya adalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu menyalahgunakan kedudukan sebagai penjawat awam bagi mendapatkan barangan berharga, bukan membabitkan rasuah seperti Guan Eng.

“Ketika saya dihukum penjara, DAP menganggapnya sebagai kemenangan besar mereka.

“Justeru, walaupun saya bersimpati dengan nasib Guan Eng, saya fikir kenyataan paling tepat untuk DAP ialah seperti diungkapkan oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan, iaitu ‘padan muka’.

“Kes saya tidak sama dengan Guan Eng kerana Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya menerusi entri dalam akaun rasmi Facebook miliknya, hari ini.

Pada 22 September 2015, panel empat hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Dr Mohamad Khir selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 bulan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 dan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013.

Dia diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Persekutuan bermula 29 September 2015.

Dr Mohamad Khir disabitkan atas pertuduhan menyalah guna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta untuk dirinya dan isteri pada tahun 2007.

Khamis lalu, Guan Eng yang juga Setiausaha DAP, didakwa atas dua tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Georgetown, dibebaskan dengan jaminan RM1 juta.

Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu, iaitu pembelian banglo di Jalan Pinhorn di bawah harga pasaran dan meluluskan permohonan pengezonan semula dua lot pertanian kepada perumahan di Daerah Barat Daya.

Poetic Justice Buat DAP

1. Sungguhpun saya tidak mengulas apa-apa mengenai kes Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Lim Guan Eng, saya tidak boleh menghalang pelbagai pihak membuat perbandingan dan kenyataan.

2. Namun apabila En Lim Guan Eng sendiri membuat kenyataan membandingkan kes beliau dengan kes saya, maka saya berasakan perlu membetulkan kenyataan beliau.

3. LGE membuat kenyataan, “Tidak seperti kes Khir Toyo, Cik Phang tidak rugi RM 5 juta, malah memperoleh keuntungan kecil sebanyak RM 300 ribu daripada harga asal RM 2.5 juta. Tidak seperti kes Khir Toyo, Cik Phang bukanlah pemaju perumahan yang harus bergantung kepada kerajaan negeri untuk meneruskan perniagaannya.”

4. Jawapan saya, “tidak seperti beliau membeli rumah yang lengkap dan sedia diduduki, LGE meninggalkan fakta bahawa saya membeli sebuah rumah separuh siap tanpa CF dengan harga RM 3.5 juta.”

5. Harga ini mengikut penilaian penilai hartanah yang berwibawa dan bank antarabangsa.

6. Harga asal RM 6.5 juta merupakan sebuah rumah lengkap sekali dengan perabot (fully furnished). Ia sudah merupakan dua entiti yang berbeza.

7. Saya suka mengingatkan LGE keputusan Mahkamah ke atas saya langsung tidak mengambil kira hakikat penjual rumah saya tidak mendapat apa-apa keistimewaan dari Kerajaan Negeri Selangor pimpinan saya.

8. Malah permohonan syarikat Shamsudin yang disokong oleh saya juga ditolak oleh PKNS.

9. Saya bersalah kerana dalam pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan bukanlah kerana mengambil rasuah, tetapi kerana menyalahguna kedudukan sebagai penjawat awam untuk mendapatkan sesuatu barangan berharga dengan balasan tidak mencukupi (lebih murah dari nilai sebenar) dari seseorang yang mempunyai urusan rasmi dengan saya.

10. Dalam kes saya, Mahkamah mendapati saya bersalah kerana saksi Pendakwa, Shamsuddin Haryoni, memberitahu Mahkamah beliau tidak setuju dengan harga RM 3.5 juta tetapi terpaksa menjualnya kerana bimbang perniagaan beliau di Selangor terjejas.

11. Justeru, saya nasihatkan Lim Guan Eng berhenti membandingkan kes beliau dengan kes saya.

12. Malah kes saya tidak sama dengan beliau kerana beliau turut didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang tentunya membabitkan kesalahan lebih serius.

13. Ketika saya dihukum penjara, DAP menganggap ia satu kemenangan besar mereka. Justeru, sungguhpun saya bersimpati dengan nasib Lim Guan Eng, saya fikir kenyataan paling tepat untuk DAP ialah seperti yang diungkapkan oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan, – “Padan Muka”.

14. Bagi saya pendakwaan ini adalah “Poetic Justice”!

– Dr Mohamad Khir Toyo (2 Julai 2016)

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10150647476519995&id=146107854994

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.