Pendidikan dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan – Pemuda GPS - pakdin.my

PEMUDA Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, untuk menyelesaikan isu sekolah daif di Sarawak, selepas melawat sendiri dua sekolah di negeri itu dan kesanggupan beliau untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak ke arah itu.

Namun kenyataan Dr Maszlee yang meminta Sarawak supaya kurangkan politiking amat melucukan kerana kenyataan beliau sendiri jelas berbau politik dan cuba menyalahkan kerajaan negeri Sarawak sebagai bertanggunjawab terhadap masih adanya sekolah-sekolah daif di Sarawak.

Malah tindakan Dr Maszlee membandingkan Sarawak dan kampung beliau di Johor dengan menyebut banyak perubahan di kampungnya dalam tempoh 40 tahun berbanding Sarawak, sangat tidak masuk akal, kerana saiz Sarawak hampir menyamai seluruh Semenanjung dan Johor jauh lebih kecil.

Untuk membandingkan Sarawak dengan Johor menunjukkan betapa naifnya Dr Maszlee dan seolah-olah menghina orang Sarawak. Kekayaan Sarawak selama ini yang dikaut kuasa imperialis Malayalah yang menjadi penyebab utama Sarawak menjadi seperti ini.

Perlu diingat bahawa bidang pendidikan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri dan mereka yang pernah menjadi Menteri Pendidikan sebelum ini termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad (1974-1978) ; Datuk Seri Anwar Ibrahim (1986-1991) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2009-2013 dan 2013-2015).

Justeru kenyataan beliau yang menyebut bahawa tidak masuk akal negeri sekaya Sarawak mempunyai banyak lagi sekolah daif, ibarat “meludah ke langit”. Tindakan meletakkan telunjuk kepada mana-mana pihak harus dihentikan kerana semua perlu bertanggungjawab dan bergerak ke hadapan ke arah menangani masalah rakyat, bukannya asyik hendak mencari salah orang lain.

YB Menteri Pendidikan harus melihat sekolah sebagai wadah untuk melahirkan anak bangsa masa depan negara dan bukannya yang perlu dikorbankan di arena politik demi mengejar darjat dan kuasa. Apabila Kerajaan Sarawak menegaskan betapa pentingnya sekolah-sekolah daif ini dibina semula atau dinaiktaraf, bermakna ia benar- benar mendesak untuk dilaksanakan.

Kebanyakan sekolah-sekolah tersebut sudah wujud lebih daripada 30 hingga 40 tahun yang lalu, dan sudah tiba masanya untuk ia sama ada dinaiktaraf atau dibina baru.

Jika Kerajaan Persekutuan mahu melihat kita berdikari sepenuhnya, maka kembalikan 100 peratus hasil minyak dan gas Sarawak serta berikan autonomi penuh bidang pendidikan kepada Kerajaan Sarawak. Kita akan mengendalikannya dengan cara kami. Kita berharap Dr Maszlee sendiri akan menyokong penuh jika usul ini dibawa ke Dewan Rakyat

Pemuda GPS berharap supaya Menteri Pendidikan itu benar-benar serius dengan kenyataannya untuk menangani isu sekolah daif dan tidak seperti janji tidak ditepati beliau untuk menghapuskan Tol Simpang Renggam ketika kempen PRU-14 jika Pakatan Harapan (PH) menang.

Kita juga berharap supaya Dr Maszlee dapat memohon kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya memberikan peruntukan lebih besar untuk menangani isu sekolah daif, bukannya hanya menyediakan RM100 juta untuk dikongsi seluruh negara.

Kerajaan sebelumnya telah meluluskan peruntukan RM2.5 bilion untuk membaiki dan menaiktaraf sekolah daif bagi 2018 dan 2019, masing-masing RM1 bilion untuk Sabah dan Sarawak, RM500 juta untuk Semenanjung.

Pada 2018 (sebelum PRU-14) kerajaan sebelumnya telah menyediakan peruntukan RM419.05 juta untuk membina dan membaikpulih sekolah daif di Sarawk. Sebanyak 50 sekolah yang dibina Jabatan Kerja Raya (JKR) telah siap dengan kos RM138.45 juta. Manakala daripada 66 sekolah di bina Kementerian Pendidikan dengan kos RM280.6 juta, 17 lagi belum siap. Ada baki RM581 juta peruntukan untuk Sarawak sepatutnya dibawa ke tahun 2019, namun kini Kerajaan Pakatan Harapan hanya memperuntukan RM100 juta untuk seluruh negara.

Kenyataan Media Bersama

YB Gerald Rentap Jabu
YB Datuk Snowdan Lawan
Sdr Micheal Tiang
Sdr Robert Ayu

(4 Disember 2018)

Rujukan:
Peruntukan RM1b bukti kerajaan prihatin sekolah daif
5 NOVEMBER 2017
http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/peruntukan-rm1b-bukti-kerajaan-prihatin-sekolah-daif-1.752453

https://pakdin.my/tah/sarawak

UTAMABERITAPendidikan dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan - Pemuda GPS

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium